Anda di sini

Bot pancing karam: Tong ikan jadi penyelamat empat nelayan

Advertisement
Keempat-empat nelayan ditemui selamat oleh kapal Ultra Jaya dengan hanya berlindung dengan tong ikan selepas hanyut di laut selama enam hari.
Keempat-empat nelayan ditemui selamat oleh kapal Ultra Jaya dengan hanya berlindung dengan tong ikan selepas hanyut di laut selama enam hari.

MIRI: Tong ikan menjadi penyelamat kepada empat nelayan lelaki selepas bot pancing yang dinaiki karam akibat dipukul ombak pada awal pagi 30 Januari lalu. 

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata kesemua mangsa ditemui selamat selepas enam hari hanyut pada jarak lebih kurang 75 batu nautika dari muara Sungai Miri kira-kira jam 10 pagi pada Sabtu. 

Kesemua nelayan diberikan pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan setibanya di Jeti Marina Bay.
Kesemua nelayan diberikan pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan setibanya di Jeti Marina Bay.

“Kapal Maritim (KM) Tabah memaklumkan bahawa kapal Ultra Jaya telah menemui mangsa yang hanyut di dalam tong ikan pada jarak lebih kurang 75 batu nautika dari muara Sungai Miri kira-kira jam 10 pagi semalam (Sabtu). 

“Seramai empat orang mangsa yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 44 tahun kemudiannya dipindahkan ke KM Tabah untuk dibawa ke Jeti Marina Bay, di sini bagi tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Ahad. 

Mohd Shafie berkata dengan bantuan Bot Kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kesemua mangsa tiba di Jeti Marina Bay, di sini kira-kira jam 6 petang pada Sabtu. 

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemeriksaan awal setibanya mangsa di jeti tersebut. 

“Mangsa kelihatan dalam keadaan yang lemah akibat hidrasi seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut. 

“Hasil keterangan mangsa, mereka telah keluar untuk memancing sejak 29 Januari lalu dan pada awal pagi 30 Januari, bot pancing yang dinaiki telah karam akibat dipukul ombak,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shafie menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk. 

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, APMM menasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personal Locater Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan. 

“APMM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016 yang beroperasi 24 jam,” nasihatnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement