Anda di sini

Varane nekad bersara dari bola sepak antarabangsa

Advertisement
 

PARIS: Pemain pertahanan antarabangsa Perancis, Raphael Varane (gambar), mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa selepas kegagalan Perancis mempertahankan kejuaraan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Varane, yang membuat 93 penampilan bersama Perancis, adalah sebahagian dari skuad Perancis yang menjulang Piala Dunia 2018 di Rusia tetapi gagal membantu Perancis mempertahankan kejuaraan mereka pada bulan Disember lalu. Dia juga membantu skuad kendalian Didier Deschamps memenangi Liga Negara UEFA pada 2021.

“Mewakili negara yang hebat selama satu dekad merupakan salah satu penghormatan besar dalam kehidupan saya,” kata Varane dalam satu kenyataan. “Setiap kali saya menyarung jersi biru kebangsaan, saya berasa sangat bangga, tugas untuk memberikan segala-galanya, untuk bermain dengan jiwa dan raga dan untuk memenangi setiap kali kami memasuki padang.

“Saya sudah memikirkannya sejak beberapa bulan dan saya membuat keputusan bahawa ia adalah masa yang tepat untuk saya bersara dari bola sepak antarabangsa.”

Pemain pertahanan kelab Manchester United itu merupakan pemain utama skuad kebangsaan Perancis sejak membuat penampilan sulung antarabangsa pada 2013.

Varane beraksi dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan di Piala Dunia 2018 ketika Perancis muncul juara dunia buat kali pertama sejak 1998. Bagaimanapun, dia bergelut pada Euro 2020 ketika Perancis tersingkir di pusingan kedua, tewas kepada Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti.

Keputusan Varane hadir beberapa minggu selepas penjaga gol Perancis yang juga kapten pasukan, Hugo Lloris, mengumumkan persaraan dari bola sepak antarabangsa pada usia 36 tahun.

Varane menambah bahawa ia adalah masa untuk “kumpulan pemain muda berbakat” untuk mengambil alih tempatnya.

“Raphael menghubungi saya beberapa minggu yang lalu untuk menjelaskan bahawa dia mahu bersara dari bola sepak antarabangsa. Dia pemain yang bijak yang tahu bagaimana untuk mengambil masa untuk memikirkannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan akhir,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

“Raphael percaya dia sudah sampai ke akhir pengembaraannya bersama pasukan Perancis. Saya pernah berada dalam situasi yang sama sepertinya, saya faham penjelasannya dan menghormati keputusannya.

“Ketika akan mempunyai haluan yang berbeza, saya mahu memuji kejujurannya, komitmen tidak pernah luntur kepada skuad. Raphael memainkan peranan penting dalam dan luar padang dalam dekad lalu.” — AFP
 

Advertisement