Anda di sini

Usaha gigih STF pulihkan pelancongan amat dihargai

Advertisement
Wee (dua kanan) dan Audrey (kanan) serta tetamu jemputan lain disambut dengan persembahan tarian singa sebelum majlis bermula. - Gambar Chimon Upon
Wee (dua kanan) dan Audrey (kanan) serta tetamu jemputan lain disambut dengan persembahan tarian singa sebelum majlis bermula. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Usaha gigih Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) untuk mempromosi dan memasarkan produk pelancongan selepas terjejas COVID-19 amat dihargai.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada orang ramai terutamanya dalam industri pelancongan.

"Namun usaha yang luar biasa dan penglibatan berterusan oleh STF dengan banyak pihak telah membantu industri pelancongan negeri perlahan-lahan berkembang semula seperti dahulu.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) atas usaha dan inisiatif mereka untuk mempromosi dan memasarkan produk pelancongan Sarawak.

"Mereka telah bekerja keras kerana sektor pelancongan kita telah terjejas semasa wabak itu, malah ejen pelancongan dan pengusaha pelancongan kita tidak dapat beroperasi kerana sempadan antarabangsa dan tempatan ditutup untuk satu tempoh," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina STF yang dihadiri Presiden STF Audrey Wan Ullok di MBKS di sini, hari ini.

Mengenai program rumah terbuka yang dianjurkan, Wee berkata majlis berkenaan adalah peluang yang amat berguna untuk semua pihak berkumpul dan bertukar-tukar ucapan, bersalaman, berkongsi detik-detik gembira, memperbaharui ikatan dan membuat kawan baharu.

Katanya, walaupun dunia berkelajuan tinggi dengan teknologi tinggi hari ini, hubungan peribadi tetap masih penting.

"Anda boleh menghantar seratus e-mel atau membuat seratus panggilan telefon atau WhatsApp tetapi mereka tidak boleh menggantikan berjabat tangan secara peribadi, bertentang mata dan merasakan kehangatan sambutan.

"Ini adalah tradisi yang baik untuk dihargai. Di Sarawak, sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk berkumpul, bertemu ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat semasa Tahun Baharu Cina," katanya.

Tambah Wee, penghayatan terhadap adat tradisi masyarakat bukan sahaja membantu memperkayakan kehidupan tetapi memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti dan warisan budaya yang ada.

Justeru katanya, dalam usaha menjalankan tugas seharian, masyarakat tidak seharusnya terlepas pandang tentang kepentingan mengekalkan identiti budaya yang boleh menggalakkan perpaduan dan memupuk persahabatan dalam kalangan masyarakatnya.

Beliau memberitahu, Sarawak dikagumi ramai kerana keharmonian kaumnya yang harus dipertahankan.

"Lebih banyak kita bergaul dan berintegrasi, lebih banyak kita mengenali antara satu sama lain dan mempunyai kawan yang terdiri daripada pelbagai kaum. 

"Dengan cara ini, kita kurang berkemungkinan salah faham, bertindak sesama sendiri atau membentuk imej yang salah terhadap sesama warga negara melalui stereotaip," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement