Anda di sini

Tiada keperluan pergi ke Belanda untuk selesai masalah banjir di Sibu: Wong

Advertisement
Wong ketika bercakap kepada pemberita.
Wong ketika bercakap kepada pemberita.

SIBU: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh melihat tiada keperluan untuk kerajaan negeri membuat kajian ke luar negara khususnya di Belanda bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan Bukit Assek.

"Saya ingin bertanya mengapa kita perlu lakukan banyak kajian ke luar negara sedangkan kita sudah ada pelan yang besar untuk projek tebatan banjir di Sibu, yang dibuat lebih 10 tahun lepas oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.

"Semasa beliau (Douglas) menjadi menteri persekutuan yang berkuasa terhadap pengairan dan saliran, beliau telah tampil dengan pelan induk bagi menyelesaikan masalah banjir di Sibu.

"Pelan induk ini amat efektif di mana Fasa 1 dan 2 telah dilaksanakan, yang terbukti telah berjaya serta berkesan (dalam menyelesaikan masalah banjir di Sibu)," ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina PSB di sebuah restoran di sini, hari ini.  

Wong yang juga ADUN Bawang Assan berkata demikian ketika mempersoalkan kenyataan Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang memberitahu akan melawat Belanda akhir bulan ini untuk membuat kajian bagi menyelesaikan masalah banjir di Sibu, khususnya di kawasan Bukit Assek.

Dr Sim ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu di Dewan Suarah Sibu pada malam Khamis memberitahu, kerajaan Belanda telah menyatakan hasratnya untuk memberikan bantuan teknikal bagi menyelesaikan masalah banjir di Sibu.

Di samping itu katanya, kerajaan Sarawak juga akan melawat Belanda pada akhir bulan ini untuk membincangkan penyelesaiannya.

Menurut Wong, sebelum Dr Sim bersama pasukannya pergi ke Belanda untuk membuat kajian, beliau mahu Presiden SUPP itu bertanya dengan Uggah terlebih dahulu mengenai pelan induk Rancangan Tebatan Banjir Sibu yang telah dibuat lebih 10 tahun lepas.

"Saya minta Dr Sim sebelum pergi ke Belanda, perlu bertanya kepada Douglas Uggah mengenai Rancangan Tebatan Banjir Sibu kerana beliau (Uggah) telah tampil dengan pelan induk tebatan banjir yang amat efektif untuk Sibu," jelasnya.
 
Wong turut membidas kenyataan Dr Sim yang memberitahu memerlukan tasik seluas 50 ekar bagi menakung air, di mana kenyataan itu dikeluarkan sebelum kajian ke luar negara dilakukan.

"Saya tidak tahu apa yang cuba beliau katakan. Ini idea siapa, saya juga tidak tahu," ujarnya yang mahu kerajaan melihat semula kemungkinan Fasa 3 dan 4 Rancangan Tebatan Banjir Sibu boleh dilaksanakan atau tidak.

Ketika berucap pada majlis, Wong menyeru ahli-ahli PSB agar terus bekerja keras memandangkan parti itu kini menjadi satu-satu parti pembangkang yang tinggal.

Parti pembangkang katanya, amat penting dalam amalan demokrasi dan perlu ada parti pembangkang untuk mainkan peranan semak dan imbang.

"Saya menyeru semua pemimpin serta ahli-ahli parti  agar terus bekerja keras bagi menjadikan PSB sebuah parti pembangkang yang membina," jelas beliau.
 

  • oleh
  • Advertisement