Anda di sini

Sabah perlu belajar daripada inisiatif CoBT Yogyakarta yang berjaya

Advertisement
 Joniston semasa mengetuai rombongan Pelancongan Sabah untuk Forum Pelancongan ASEAN.
LAWAT: Joniston semasa mengetuai rombongan Pelancongan Sabah untuk Forum Pelancongan ASEAN.

YOGYAKARTA: Dengan mengambil contoh daripada Kampung Pelancongan Nglanggeran yang memenangi anugerah di Yogyakarta mampu membantu Sabah menambah baik inisiatif pelancongan berasaskan komuniti yang mampan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata perkara ini penting memandangkan Sabah dalam perancangan untuk mendapatkan lebih ramai pemain pelancongan mencapai pengiktirafan antarabangsa.

Tambahnya usaha itu juga sebagai sebahagian daripada proses menjadikan Sabah sebuah destinasi luar bandar bertaraf dunia.

“Kita tidak seharusnya menghadkan diri kita kepada contoh kejayaan kita sendiri, sebaliknya mengambil inisiatif terhadap pencapaian pihak lain seterusnya mengaplikasi idea serta motivasi tersebut.

“Kaedah ini mampu meningkatkan tahap pelancongan luar bandar di Sabah seterusnya melakukan penambahbaikan yang dapat menarik perhatian lebih ramai pelancong luar,” katanya selepas melawat Perkampungan Pelancongan Nglanggeran.

Joniston berada di Yogyakarta bersama rombongan Pelancongan Sabah untuk Forum Pelancongan ASEAN dan melawat beberapa tempat menarik produk pelancongan terkini.

Turut hadir ialah timbalan ketua eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Julinus Jimit dan Presiden Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS) Walter Kandayon, yang juga ahli Lembaga Pelancongan Sabah.

Joniston berkata pemain pelancongan luar bandar Sabah boleh belajar daripada teknik pemasaran berkesan kampung Nglanggeran sebagai destinasi pelancongan unik yang berjaya menarik pengunjung dari seluruh dunia.

“Saya sudah memaklumkan pihak FeRTAS untuk berhubung dengan jawatankuasa Kampung Pelancongan Nglanggeran dengan harapan kita mampu membuat susuatu pembaharuan di Sabah,” katanya.

Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) mengiktiraf Kampung Pelancongan Nglanggeran sebagai Kampung Pelancongan Terbaik Dunia 2021. 

Kampung Pelancongan itu juga berjaya memenangi Anugerah Pelancongan Komuniti ASEAN (CBT) 2017.

Nglanggeran yang terletak di dalam Geopark Gunung Sewu menawarkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan pelancongan termasuklah lawatan kebudayaan, inap desa dan rekreasi luar yang mampu menarik pelbagai jenis pelancong.

Joniston berkata Sabah juga boleh belajar daripada pakar tempatan di sini mengenai cara menguruskan geopark dan menerapkannya pada Taman Negara Kinabalu meliputi Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu.

  • oleh
  • Advertisement