Anda di sini

Projek Sistem Bekalan Air Tg Manis penyelesaian masalah bekalan air di Kuala Rajang, Tg Manis

Advertisement
Julaihi (tiga kiri) ketika taklimat pada lawatan Loji Rawatan Air Tanjung Manis.
Julaihi (tiga kiri) ketika taklimat pada lawatan Loji Rawatan Air Tanjung Manis.

BELAWAI: Projek Sistem Bekalan Air Tanjung Manis Pakej 1 hingga 7 yang telah siap akan menjadi penyelesaian kepada masalah bekalan air yang dihadapi di kawasan Kuala Rajang dan Tanjung manis.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, Loji Rawatan Air Tanjung Manis di bawah Pakej 6 juga telah siap dan apabila beroperasi sepenuhnya kelak dapat membekalkan air bersih selepas memproses air mentah yang disalurkan dari Pakej 1 (kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit).

"Kita berharap ia akan menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan air di sini. Cuma beri sedikit masa untuk kita membolehkan Loji Bekalan Air Tanjung Manis ini dapat beroperasi sepenuhnya.

"Kos keseluruhannya RM17 juta untuk membaik pulih dan membetulkan komponen-komponen yang perlu ditukar, kita perlu memastikan nya dapat digunakan," ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan Loji Rawatan Air Tanjung Manis di Tanjung Manis, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, keseluruhan projek adalah baik di mana paip besar lama belum diguna pakai.

"Mereka perlu mengadakan pemeriksaan dan menguji sistem paip yang ada bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna untuk pengoperasian tersebut.

"Difahamkan tidak banyak kerosakan yang berlaku dan ia telah diambil tindakan untuk dibaik pulih atau diganti dengan alat ganti yang perlu.

"Tetapi yang utama sekali ialah loji rawatan air yang kita lawat tadi di Pakej 6 yang memerlukan beberapa komponen utama yang perlu ditukar sebelum ia dapat digunakan sepenuhnya. 

"Jadi, apabila Loji Rawatan Air Pakej 6 dapat kita pulih sepenuhnya, kita percaya usaha untuk memulihkan paip sekarang tidak banyak masalah dan kita berharap operasi bekalan air berjalan seperti yang kita rancangkan, selain bekalan daripada Loji Rawatan Air Bayong yang masih juga menyalurkan bekalan air ke kawasan itu, maknanya kita ada dua sumber," jelasnya.

Menurutnya, Loji Rawatan Air Tanjung Manis 30 MLD dan Loji Rawatan Air Bayong 70 MLD akan ditingkatkan kepada 100 MLD.

"Maknanya dikira 130 MLD itu banyak dan menjadi penyelesaian masalah bekalan air di kawasan ini. 

"Perlu ikhlas, kalau terdapat masalah kecil (masalah air) perlu mendapat maklumat yang betul daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Lembaga Air Sibu atau pegawai-pegawai jurutera kami yang sentiasa berada di kawasan atau pejabat masing-masing menyelia perjalanan projek ini dari masa ke masa.

"Kalau masalah yang kecil itu biarlah kita ikhlaslah, kalau tekanan air tidak sampai kepada sebahagian kecil kampung tidak bermakna semua kawasan kampung tidak mendapat bekalan air, saya pun periksa juga," katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abd Wahab dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
 

  • oleh
  • Advertisement