Anda di sini

Projek Sistem Bekalan Air Tg Manis Fasa 1 dijangka beroperasi suku ketiga tahun ini

Advertisement
Julaihi (dua kanan) ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit, hari ini. Turun kelihatan Len Talif (dua kiri), Yusuf (kanan) serta yang lain.
Julaihi (dua kanan) ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit, hari ini. Turun kelihatan Len Talif (dua kiri), Yusuf (kanan) serta yang lain.

SIBU: Projek Sistem Bekalan Air Tanjung Manis Fasa 1 dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, projek itu kini hampir siap dan hanya menunggu untuk diperiksa serta diuji sistem paip yang ada bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna untuk pengoperasian tersebut.

"Kita perlu memeriksa dengan teliti sistem yang ada supaya berkeadaan baik dan sempurna sebelum pengoperasiannya kelak," ujarnya kepada pemberita semasa melawat tapak kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata, dengan siapnya projek bekalan air itu kelak, kawasan Tanjung Manis, Belawai dan Pulau Bruit akan menerima bekalan air dari dua sumber termasuk dari Loji Rawatan Air Bayong di Sarikei.

Projek kolam pengambilan air mentah dari Batang Rajang berukuran 75 meter x 50 meter x 3 meter (20 MLD)  itu telah dibina dengan kos sebanyak RM16.8 juta dan telah dianugerahkan kepada Hock Seng Lee Bhd melalui tender terbuka dan mula dibina pada 1 Julai 2020.

Pada asalnya, kerja pembinaan bermula pada 1 Julai 2020 dan dijangka siap pada 30 Jun 2021.

Bagaimanapun, disebabkan oleh COVID-19 dan kekurangan tenaga kerja susulan pandemik itu, kemajuan pembinaan saluran masuk air sungai terus 20 MLD yang baharu telah terjejas dan mengakibatkan kelewatan.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab dan Timbalan Menteri  Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
 

  • oleh
  • Advertisement