Anda di sini

Petronas raikan Tahun Baharu Cina bersama penerima Program Sentuhan Kasih di Membakut

Advertisement
 James (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima sempena program itu sambil diperhatikan oleh Lee Chun Kiong (kiri), Siti Ayu (dua kanan) and  Flovia (kanan).
SAMPAIKAN: James (tengah) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang penerima sempena program itu sambil diperhatikan oleh Lee Chun Kiong (kiri), Siti Ayu (dua kanan) and  Flovia (kanan).



MEMBAKUT: Petronas melalui Yayasan Petronas melaksanakan Program Sentuhan Kasih sempena perayaan sambutan Tahun Baharu Cina 2023 yang diadakan di Dewan Seri Wawasan Kampung Pimping, dekat sini.


Program Sentuhan Kasih itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.


Pada majlis itu, James menyerahkan bakul makanan dan hamper 100 penerima Program Sentuhan Kasih yang dikenal pasti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JPKA) Sabah di sekitar Membakut.


Secara simbolik James menyampaikan bakul makanan kepada lima orang penerima manakala selebihnya diagihkan oleh pihak JPKA.


Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab memberitahu, Program Perayaan Sentuhan Kasih merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Yayasan Petronas sempena perayaan besar di Malaysia iaitu Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Kaamatan, Gawai, Deepavali dan Krismas.


Sempena Tahun Baharu Cina tahun ini, Yayasan Petronas menyediakan sebanyak 2,000 pakej makanan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 100 diagihkan kepada penerima di Sabah dan 50 lagi di Labuan.


"Program Perayaan Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada kawasan tumpuan pembangunan dan kesejahteraan komuniti Yayasan Petronas, selaras dengan Agenda Kelestarian Petronas, " kata Siti.


Terdahulu, James berkesempatan melawat ke salah sebuah rumah di Kampung Tamoi bagi menyerahkan sebuah katil boleh laras kepada salah seorang penduduk di situ.


Ia merupakan sebahagian daripada 405 katil boleh laras yang disumbangkan oleh Yayasan Petronas di Sabah sejak tahun lepas bagi menyokong Program Homeward JPKA yang bertujuan menyediakan alat keperluan warga emas serta orang kelainan upaya (OKU) dan pesakit kronik di rumah.


Mengenai Program Home Ward, Siti Ayu berharap sumbangan itu dapat menyokong penjaga dalam membantu ahli keluarga mereka yang sedang menjalani pemulihan di rumah dan pada masa yang sama membantu JPKA dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.


Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Lee Chun Kiong dan Pengarah JPKA Jais Asri.

  • oleh
  • Advertisement