Anda di sini

Penduduk diminta lupuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes

Advertisement
 Nizam bersama semua yang terlibat dalam program gotong royong tersebut.
HADIR: Nizam bersama semua yang terlibat dalam program gotong royong tersebut.

TAWAU: Penduduk di daerah ini diminta untuk sentiasa menjaga kebersihan kawasan rumah masing-masing bagi mengelak jangkitan demam denggi terus merebak.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kes demam denggi di daerah ini semakin kritikal sehingga 17 lokaliti dikenal pasti mempunyai kes kumulatif wabak.

Katanya, jumlah penduduk yang dirawat akibat demam denggi semakin bertambah dan perlunya semua pihak bekerjasama mencari jalan penyelesaian.

“Saya sudah mengarahkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan pemimpin akar umbi kawasan Apas untuk sentiasa memberi peringatan kepada penduduk untuk melupuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Namun, penduduk sendiri perlu berusaha untuk menjaga kawasan rumah mereka supaya memastikan sentiasa bersih dan tiada tempat air bertakung,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam program gotong-royong di Taman Tawau Lama, di sini pagi tadi.

 Nizam (tengah), Lo (dua kiri) turun padang membersihkan kawasan Taman Tawau Lama.
TURUN PADANG: Nizam (tengah), Lo (dua kiri) turun padang membersihkan kawasan Taman Tawau Lama.

Menurutnya, Taman Tawau Lama telah disenarai sebagai kawasan wabak denggi tidak terkawal kerana seramai 12 orang penduduknya dijangkiti demam denggi selama 32 hari.

“Untuk permulaan, kita laksanakan program gotong-royong di kawasan ini bagi membersihkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dan memberi kesedaran kepada penduduk di sini.

“Usaha ini perlu dilaksanakan lebih agresif di seluruh perbandaran Tawau sebelum banyak lagi menjadi kawasan wabak denggi tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, demam denggi bukanlah penyakit yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa maut sekiranya lambat dirawat.

“Walaupun tahun ini belum ada direkodkan kematian akibat demam denggi, tetapi langkah waspada perlu diambil sebelum ia terjadi.

“Semua penduduk juga dinasihatkan supaya memberikan kerjasama kepada petugas Pejabat Kesihatan Kawaan (PKK) Tawau sekiranya mereka datang membuat pemeriksaan nyamuk Aedes,” katanya.

Nizam menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program gotong-royong kali ini.

“Program ini juga akan dilaksanakan di kawasan lain di Parlimen Tawau khususnya DUN Apas pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, pegawai dan anggota daripada PKK Tawau, Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Penerangan Tawau, Bomba, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.

  • oleh
  • Advertisement