Anda di sini

Mbappe alami kecederaan, terlepas perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern 

Advertisement
Mbappe terbaring di atas padang selepas mengalami kecederaan pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Montpellier  dan Paris Saint-Germain di Stade de la Mosson di Montpellier, Rabu lalu. — Gambar AFP
Mbappe terbaring di atas padang selepas mengalami kecederaan pada perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Montpellier dan Paris Saint-Germain di Stade de la Mosson di Montpellier, Rabu lalu. — Gambar AFP

PARIS: Penyerang kelab Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe akan berehat selama tiga minggu kerana kecederaan paha dan terlepas perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich pada 14 Februari, menurut pengumuman PSG pada Khamis.

Bintang antarabangsa Perancis itu mengalami kecederaan dalam separuh masa pertama ketika PSG menang 3-1 di Montpellier dalam aksi Ligue 1 Perancis, selepas gagal menyempurnakan penalti yang diambil dua kali.

Jurulatih PSG, Christopher Galtier pada awalnya mencadangkan Mbappe mengalami hentakan di belakang lutut berbanding kecederaan otot namun pemeriksaan lanjut mengesahkan keadaan sebenar kecederaannya.

“Selepas menjalani pemeriksaan lanjut, Kylian Mbappe mengalami kecederaan di paha kiri yang boleh dianggap serius,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Jika dia perlu berehat selama tiga minggu, dia juga tidak akan dapat beraksi pada perlawanan pusingan 16 akhir Piala Perancis menentang Marseille pada pertengahan minggu hadapan dan juga bergelut dengan masa untuk kembali beraksi untuk kemungkinan perlawanan penting liga menentang Marseille pada akhir bulan ini.

Bagaimanapun, PSG berharap Mbappe, yang menjaringkan 25 gol dari 26 perlawanan musim ini, akan kembali cergas untuk perlawanan kedua menentang Bayern Munich di Jerman pada 8 Mac.

Berita ini satu kerugian besar buat PSG, yang terdesak untuk mengelak perkara sama berlaku di pusingan kedua musim lepas, di mana mereka tewas kepada Real Madrid.

PSG sudah biasa dengan krisis kecederaan melibatkan pemain bintang menjelang perlawanan penting Liga Juara-Juara sejak beberapa tahun yang lalu.

Kecederaan kaki menghalang Neymar dari bermain sepenuhnya dalam perlawanan pusingan kedua ketika tewas kepada Real Madrid pada 2018 dan juga masalah yang sama ketika tewas kepada Manchester United di peringkat yang sama pada 2019.

PSG berharap untuk akhirnya memenangi kejuaraan paling berprestij Eropah ini buat kali pertama dalam sejarah kelab selepas dibeli oleh hartawan dari Qatar pada 2011.

Mereka sudah tersingkir di pusingan kedua sebanyak empat kali dari enam musim terakhir, walaupun ada melangkah ke final pada 2020, tewas kepada Bayern di Lisbon dan tewas di peringkat separuh akhir pada 2021.

PSG meyakinkan Mbappe untuk terus kekal di kelab tahun lepas dan menandatangani kontrak baharu walaupun dijangka akan berpindah ke Real Madrid ketika mereka berharap dia akan membantu kelab memenangi kejuaraan Eropah.

Kecederaan Mbappe hadir sebulan selepas dia membantu Perancis ke final Piala Dunia 2022 di Qatar sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina. — AFP
 

Advertisement