Anda di sini

Mayat budak albino ditemui tanpa kepala dan kaki di DR Congo

Advertisement
 

BUKAVU: Mayat tanpa kepala dan kaki seorang kanak-kanak lelaki albino berusia lima tahun ditemui di wilayah Kivu Selatan DR Congo, timur DR Congo disyaki dibunuh unuk amalan ilmu hitam, menurut pihak berkuasa kelmarin. 

Kanak-kanak itu ditemui di kawasan Kalehe di Kivu Selatan – sebuah wilayah yang bersempadan dengan Rwanda dan Burundi – menurut pegawai kerajaan tempatan, Archimede Karhebwa.

Mayat kanak-kanak itu ditemui tanpa kepala dan kakinya.

Juvenal Lushule, bekerja untuk persatuan albino di Kivu Selatan, berkata bahawa 18 orang albino telah dibunuh dalam keadaan yang sama di wilayah itu sejak 2009.

Sepuluh kubur albino juga telah ditemui dalam tempoh itu, menurut Lushule, dan terdapat 22 percubaan penculikan.

Seperti di beberapa negara Afrika yang lain, orang albino di DRC disasarkan kerana kepercayaan bahawa bahagian tubuh badan mereka boleh digunakan dalam ritual sihir untuk membawa kemasyhuran dan kekayaan.

Albinisme, disebabkan oleh kekurangan melanin, pigmen pewarna kulit, rambut dan mata, merupakan keadaan genetik yang dialami oleh beratus-ratus ribu orang di seluruh dunia, terutamanya di Afrika. — AFP 
 

Advertisement