Anda di sini

Mangsa banjir semakin kurang, hanya 175 orang di dua PPS

Advertisement
 Mangsa banjir dari Kampung Bakalau dibenarkan pulang pada jam 2 petang memandangkan paras air di kawasan tersebut sudah surut dan selamat untuk diduduki.
PULANG: Mangsa banjir dari Kampung Bakalau dibenarkan pulang pada jam 2 petang memandangkan paras air di kawasan tersebut sudah surut dan selamat untuk diduduki.

KOTA KINABALU: Keadaan banjir di Sabah semakin pulih dan hanya 175 orang daripada 48 keluarga yang masih berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Beaufort dan Tawau.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan PPS di Telupid sudah ditutup pada jam 9 pagi dan semua mangsa banjir dibenar pulang ke rumah masing-masing.

“Setakat ini hanya 134 mangsa daripada 40 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbanguna Selagon manakala 41 mangsa daripada lapan keluarga di Dewan Al Munawwaroh Kampung Jawa Tawau.

“Terdapat pengurangan jumlah mangsa di PPS Dewan Selagon iaitu mangsa dari Kampung Bakalau Beaufort dibenarkan pulang pada jam 2 petang memandangkan paras air di kawasan tersebut sudah surut dan selamat untuk diduduki,” katanya.

Beliau berkata tujuh kawasan masih berisiko di Beaufort termasuklah Kampung Balibata, Binunuk, Bakalau, Bingkul, Suasa, Lago dan Jabang.

“Jalan Kampung Lago dan Jalan Pekan Beaufort pula hanya boleh dilalui kenderaan berat manakala Jalan Kampung Suasa masih dinaiki air dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Hasil pemantauan mendapati paras air sungai Padas meningkat ke tahap bahaya dan mengalir ke hilir Sungai Padas menyebabkan Kampung Binunuk dan Balibata digenangi air,” katanya.

Tambahnya pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain paras air sungai belum normal.

Terdahulu Sabah mencatatkan jumlah mangsa banjir mencecah 10,312 orang daripada 3,564 Ketua Isi Rumah (KIR) berikutan peningkatan penduduk yang dipindahkan di PPS di lima daerah terjejas banjir sebelum ini.

Kota Marudu menjadi daerah yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 7,358 mangsa, diikuti Pitas 2,160 mangsa dan Paitan 664 mangsa.

  • oleh
  • Advertisement