Anda di sini

Kerjasama ibu bapa, guru penting demi masa depan anak, kata Doris

Advertisement
Doris (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Khas kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan Boo (dua kiri) serta yang lain.
Doris (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Khas kepada salah seorang pelajar sambil diperhatikan Boo (dua kiri) serta yang lain.

SRI AMAN: Kerjasama antara ibu bapa dan guru penting demi masa depan anak, kata Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie.

Menurutnya, ramai anak-anak yang berjaya dalam pelajaran merupakan mereka yang sentiasa menerima galakan daripada ibu bapa dan guru, selain pihak sekolah.

"Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi galakan kepada anak-anak sehingga berjaya. Jika mereka berjaya kelak, kita pasti gembira kerana tanggungjawab kita sudah terlaksana," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Anugerah Tiang Laju (ATILA), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang di dewan sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Doris menegaskan, ilmu pengetahuan adalah asas kehidupan yang perlu ditimba dari kecil.

"Tanpa ilmu pengetahuan, sukarlah hidup anak-anak kita nanti. Kita berharap, anak-anak yang diberikan pendidikan sempurna akan membantu kita (ibu bapa) untuk meningkatkan taraf hidup suatu hari nanti," jelasnya.

Katanya lagi, ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab memberikan pendidikan kepada anak-anak kerana ia merupakan hak mereka.

"Kegagalan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah akan menggelapkan masa depan generasi muda.

"Tiada alasan untuk mereka tidak berbuat demikian kerana kini wujud pelbagai kemudahan dan bantuan bagi golongan yang kurang berkemampuan," tegasnya.

Doris turut menekankan kepentingan majlis sedemikian yang disifatkannya sebagai  satu penghargaan kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan sepanjang  tahun.

Beliau juga berkata, sekolah perlu memperhebatkan program-program pendidikan luar iaitu pendidikan kokurikulum demi meningkatkan pemikiran pelajar terhadap dunia luar dengan penganjuran pelbagai aktiviti berbentuk  sukan dan sebagainya.

"Ini penting, selain menghadiri sesi pembelajaran di dalam kelas, pelajar kita juga perlu didedahkan dengan pengetahuan am yang berada di luar bilik kelas," jelasnya.

Hadir sama Pengetua sekolah Boo Mee Lian, guru-guru kanan serta yang lain.

Pada majlis itu, Doris turut menyampaikan Anugerah Khas kepada para pelajar sekolah berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement