Anda di sini

Kerajaan diharap timbang semula keputusan kurangkan perutukan MP

Advertisement
 

KUCHING: Keputusan untuk mengurangkan peruntukan tahunan Ahli Parlimen (MP) perlu dipertimbang semula supaya tujuan asal peruntukan tersebut dapat dilaksanakan untuk kebaikan rakyat, kata Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee.

Ini kerana katanya, peruntukan berkenaan penting untuk melaksanakan apa jua projek pembangunan bagi tempoh lima tahun.

"Oleh yang demikian, sekiranya peruntukan itu dikurangkan, ia sudah tentu memberi kesan terhadap objektif penting tujuan asal peruntukan berkenaan," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rodiyah menjelaskan objektif penting itu antaranya menambah dan melaksanakan program pembangunan lima tahun selain memenuhi keperluan rakyat yang tersisih dalam arus pembangunan.

"Selain itu, peruntukan berkenaan juga mempengaruhi keterlibatan rakyat dalam proses rancangan dan pelaksanaan projek-projek sekali gus dapat merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat," katanya lagi.

Menurutnya, pengurangan peruntukan itu turut memberi kesan terhadap pelaksanaan projek yang memerlukan tindakan segera.

"Pelaksanaan projek mendesak yang memerlukan tindakan segera melalui peruntukan ini seperti menaik taraf jalan-jalan kampung, rumah ibadat, dewan masyarakat dan sebagainya akan terkesan," katanya sambil menambah ini termasuk program kebajikan, kesan bencana dan fokus kesejahteraan rakyat.

Di kawasan Parlimen Batang Sadong katanya, masih lagi terdapat banyak projek besar yang memerlukan jangka tempoh tertentu untuk disiapkan.

"Lebih-lebih lagi, kawasan Sadong Jaya yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar di mana kebanyakan projek-projek besar untuk pembangunan mengambil jangka masa panjang untuk disiapkan.

"Namun, menerusi peruntukan tahunan yang ada untuk MP, ia dapat merapatkan jurang arus pembangunan yang berbentuk kemasyarakatan," ujarnya.

Justeru, beliau bercadang agar kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengekalkan peruntukan itu, terutama bagi MP baharu yang memerlukan peruntukan lebih.

"Saya mengharapkan agar kerajaan negeri juga memberi perhatian terhadap peruntukan MP Sarawak supaya ia setara dengan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak," tegasnya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan MP daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar berkata pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Elaun tersebut merupakan peruntukan pembangunan MP, selaras dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri disebabkan kekangan ekonomi.

"Biarlah dibuat secara berperingkat dana untuk Ahli Parlimen yang terlibat. Ini memberikan contoh awal, maknanya kalau MP sanggup kurangkan (elaun) walaupun ia bukan sumbangan peribadi, tetapi ia sumbangan pembangunan yang diselaraskan Ahli Parlimen dan Pejabat Daerah dan Tanah," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement