Anda di sini

JCI Miri tuan rumah sidang kemuncak BSDG 18-19 Mac 

Advertisement
Ahli-ahli JCI Miri bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak BSDG di Miri pada bulan depan.
Ahli-ahli JCI Miri bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak BSDG di Miri pada bulan depan.

MIRI: Junior Chamber International (JCI) Miri akan menjadi tuan rumah untuk sidang kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Borneo (BSDG) yang julung kali pada 18 dan 19 Mac depan. 

Acara berkenaan akan dianjurkan dengan kerjasama beberapa syarikat dan badan-badan dunia seperti Shell, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan banyak lagi. 

"Acara ini dijangka menjadi salah satu persidangan terbesar di Miri kelak dan tempat persidangan ditaja oleh The Hive Co-Working Space," demikian menurut Presidennya, Candy Yong Chuen Tien. 

Penganjuran sidang kemuncak BSDG itu diselaraskan dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG) yang merupakan seruan segera untuk bertindak oleh semua negara dalam perkongsian global bagi mewujudkan keamanan dan kemakmuran untuk manusia dan planet ini.

Beliau memberitahu sidang kemuncak itu kelak dijangka mampu menarik 600 peserta dalam dan luar negara serta dijangka dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin. 

"Kami menjangkakan lebih 600 peserta akan hadir ke acara ini kelak dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terlibat sama dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran lestari tentang pelbagai isu, termasuk berkaitan masyarakat. 

"Antaranya, ialah ElShaddai Refugee Learning Centre, United Nation Global Compact dan beberapa syarikat yang turut melaksanakan SDG dalam operasi mereka, ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih baik, juga akan mengambil bahagian dalam acara ini kelak," tambah Yong lagi. 

Sementara itu, tiket untuk menghadiri persidangan yang berharga RM88 untuk bukan ahli JCI dan ini adalah harga awal sehingga 15 Februari ini. 

Tiket akan dijual pada harga RM108 mulai 16 Februari hingga 17 Mac depan, manakala harga akan naik kepada RM128 untuk pembelian saat akhir pada 18 dan 19 Mac kelak. 

Bagi mereka yang ingin menjalin kerjasama dan menjadi salah satu penaja bagi acara itu, JCI Miri amat mengalu-alukan mereka berbuat demikian dengan menghubungi pengurus tajaan iaitu Owen Choo di talian 016-800-2225. 

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tiket pula, anda boleh menghubungi pengurus jualan tiket, Phyllis di talian +6010-447-1326. 
 

  • oleh
  • Advertisement