Anda di sini

Gelandangan semakin bertambah di Limbang, cetus ketidakselesaan penduduk

Advertisement
Kelihatan seorang  gelandangan yang sedang duduk di hadapan premis perniagaan.
Kelihatan seorang gelandangan yang sedang duduk di hadapan premis perniagaan.

LIMBANG: Kehadiran gelandangan yang semakin bertambah di bandar ini mencetuskan rasa tidak selesa masyarakat selain dikhuatiri boleh menjejaskan imej dan keselamatan penduduk setempat dan pengunjung luar.

Lebih menyedihkan golongan gelandangan yang dipercayai mempunyai masalah mental ini semakin berani menganggu aktiviti perniagaan peniaga disini sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan mereka.

Golongan gelandangan ini bukan saja selamba membuka ‘alas’ masing-masing untuk berehat dan tidur di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan golongan terbabit, malah menjadikan beberapa tempat di premis perniagaan sebagai lokasi lepak dan ‘rumah’.

Masalah gelandangan ini pernah dipaparkan dalam Utusan Borneo baru-baru ini dan tindakan turun pandang sudah dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di beberapa lokasi di bandar ini.

Namun masalah gelandangan yang tidak pernah surut itu menimbulkan perasaan tidak selesa golongan peniaga dan masyarakat di sini.

 

Seorang peniaga di Bangunan Tamu Limbang Brahim Tapa (gambar) berusia dalam lingkungan 50-an, berkata masalah tersebut perlu dibendung segera kerana bukan saja menjejaskan imej bandar Limbang malah berkaitan keselamatan orang ramai.

“Ini kerana kehadiran mereka bukan sahaja memberi imej yang kurang baik, malah sikap sebilangan mereka yang tidak menjaga kebersihan akan mendatangkan tanggapan tidak enak kepada orang luar yang mengunjungi lokasi-lokasi terbabit.

“Ahli keluarga gelandangan, jawatankuasa dan  keselamatan kampung (JKKK) yang mengenali gelandangan ini perlu bertanggungjawab menangani kewujudan mereka di bandar ini,” katanya kepada media hari ini.

Selain itu kata Brahim agensi kerajaan berkaitan diminta untuk bersama menangani masalah gelandangan ini termasuk dihantar ke pusat pemulihan berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement