Anda di sini

CSR berperanan penting dalam konteks pembangunan komuniti

Advertisement
Chieng (dua kanan) menyaksikan Sulong (dua kiri) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan, Kadim (kiri) dan Admah.
Chieng (dua kanan) menyaksikan Sulong (dua kiri) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan, Kadim (kiri) dan Admah.

SIBU: Tanggungjawab sosial korporat (CSR) memainkan peranan penting bagi membantu masyarakat khususnya dalam konteks pembangunan komuniti. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, dengan adanya CSR organisasi dituntut menyumbang kepada pembangunan masyarakat bagi menyeimbang dan menstabilkan ekonomi sedia ada. 

"Seterusnya dalam konteks sosial, apabila timbulnya konflik dalam masyarakat, CSR boleh membantu mewujudkan suasana persekitaran harmoni melalui kempen-kempen atau aktiviti dijalankan. 

"Dari segi politik, bagi memastikan sistem pentadbiran teratur, CSR banyak membantu mewujudkan sistem atau tata kerja beretika," ujarnya ketika menyempurnakan Program Kementerian Pengajian Tinggi Kris Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Komuniti Sejahtera UNIMAS di Dewan SK Sentosa, Kampung Usahajaya di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Ketua Kampung Usahajaya Mohd Ali Serani, Guru Besar SK Sentosa Admah Mohamed Jamil serta tetamu lain.

Chieng berkata, CSR juga memfokuskan alam sekitar dan berperanan melestarikan alam semesta.

"Penganjuran program CSR seperti ini membuktikan keprihatinan UNIMAS terhadap usaha-usaha membantu dan meringankan beban masyarakat memerlukan.

"Saya amat menyambut baik inisiatif penganjuran program CSR seperti ini kerana bersedekah itu satu amalan mulia," jelasnya.

Beliau juga menggalakkan program sedemikian agar dapat diteruskan masa akan datang.

"Semoga dengan usaha ini, dapat memberi makna kepada penduduk Kampung Usahajaya di sini.

"Saya juga amat yakin program CSR sebegini berupaya menjalinkan hubungan erat dengan pelbagai pihak," katanya.

Pada program tersebut, pelbagai pengisian program dijalankan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah motivasi dan penyerahan bakul makanan kepada golongan memerlukan.
 

  • oleh
  • Advertisement