Anda di sini

Bekas pegawai bank ada berbincang dengan Jho Low pasal akaun Najib

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu ada perbincangan lewat malam  antara bekas Pegawai Perhubungan AmBank dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengenai penutupan tiga akaun bank milik Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014.

Joanna Yu Ging Ping, 52, yang mengendalikan akaun bekas perdana menteri itu pada masa berkenaan, berhubung dengan Jho Low menerusi BlackBerry Messenger (BBM) pada pukul 11.46 malam, 4 Disember 2014.

Beliau merujuk kepada mesej teks BBM yang dibangkitkan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas perdana menteri itu dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Muhammad Shafee: Menurut perbualan BBM, Yu menghantar mesej teks kepada Jho Low bahawa “Mr Cheah (Pengarah Urusan AmBank ketika itu)  akan meninggalkan lembaga pengarah pada hujung bulan ini dan kita tidak ada akses kepada pemegang akaun (Najib). Boleh saya cadangkan kita tutup akaun-akaun itu?”

Yu kemudian berkata” Sekarang ini Ashok dan Ashok akan berurusan dengan Bank Negara esok ‘untuk mengemaskinikan’ akaun-akaun itu dan difahamkan beliau juga berfikir-fikir untuk melaporkan perkembangan terkini dengan Ketua Pegawai Risiko (CRO) (yang juga ketua pematuhan dan Bank Negara kadang-kadang  mungkin memanggil terus CRO). Sila bincang dengan Cheah mengenai perkara ini kerana Ashok mempunyai kecenderungan untuk memberikan laporan terkini kepada lembaga pengarah mengenai perkara itu. 

Jho Low kemudian membalas kepada Yu “ Gila … laporan terkini kepada lembaga pengarah? Ini tak masuk akal? Ini perkara sulit. 

Selepas membacakan perbualan lewat malam BBM itu, Muhammad Shafee bertanya kepada saksi itu adakah dia telah mengusulkan idea (menutup akaun bank itu) dan jawapannya ialah “cadangan menutup akaun Najib itu datang daripada Pengarah Urusan Kumpulan kemudian bank itu Ashok Ramamurthy yang merasa kurang senang dengan akaun berkenaan.

“Saya diarahkan oleh Ashok supaya menutup akaun itu. Ia hanya perbualan yang berlaku di dalam bank,” kata saksi ke-41 pendakwaan itu.

Muhammad Shafee: Apakah yang ada dalam minda Ashok untuk menutup tiga akaun Perdana Menteri (Najib)?

Yu: Ada banyak isu dengan akaun itu, antaranya ia telah terlebih keluar wang dan berlaku deposit dalam jumlah yang besar.

Muhammad Shafee: Saya menyatakan kepada kamu Ashok adalah “seorang pegawai bank yang mengikut peraturan” dan “bukan cakap kosong”  dan jika butiran akaun berkenaan didedahkan, awak rasa takut “didapati” bersekongkol dengan Jho Low? Yu menjawab tidak.

Saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa dia bersubahat dengan Jho Low untuk menyembunyikan apa yang berlaku dalam akaun berkenaan.

Muhammad Shafee kemudian beralih kepada punca saksi itu dipecat dan beliau menyatakan satu daripada puncanya ialah Yu mendapatkan kebenaran daripada pihak ketiga, iaitu Jho Low berkaitan akaun Najib. 

Muhammad Shafee: Satu daripada dakwaan ialah anda mendapatkan kebenaran daripada pihak ketiga (individu tanpa kebenaran), yang merupakan orang asing kepada akaun Najib?

Yu: Pihak ketiga yang disebut ialah Jho Low dan saya tidak menerima sebarang surat bertulis daripada Jho Low ataupun Najib.

Pada ketika ini peguam itu berkata dalam nada menyindir bahawa saksi itu bukan bekerja dalam sebuah kedai kopi yang membolehkannya bertindak dengan arahan lisan.

Najib, 70, berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung Selasa ini. - BERNAMA
 

Advertisement