Anda di sini

Pengurangan geran sukarkan MP salur bantuan di konstituensi

Advertisement

KUCHING: Peruntukan geran secara langsung (OG) yang dikurangkan untuk setiap Ahli Parlimen (MP) memberi kesan terhadap usaha yang dilaksanakan selain menyukarkan mereka menyalurkan bantuan di konstituensi masing-masing.

 

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi (gambar) berkata, pemotongan peruntukan kali ini akan menyukarkan wakil rakyat menyalurkan dana, lebih-lebih lagi jika sesebuah kawasan Parlimen itu mempunyai dua atau lebih kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, bagi beliau sendiri, banyak bantuan sekolah disalurkan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk sekolah-sekolah mengadakan pelbagai program dan aktiviti kokurikolum, akademik dan keceriaan sekolah. 

"Saya memberi fokus kepada sekolah kerana program kokurikulum harus selalu diadakan dan bukan bersifat 'one off'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen dipotong 65 peratus peratus pada 2023.

Beliau menambah, peruntukan tersebut terlalu jauh berkurangan daripada peruntukan yang diberi oleh kerajaan sebelum ini.

"Sebenarnya, peruntukan OG berkenaan penting kerana ia juga banyak membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), PIBG, persatuan-persatuan, kelab dan organisasi yang berdaftar," katanya. 

Ahmad Johnie bagaimanapun menaruh kepercayaan kerajaan hari ini dapat mempertimbangkan keputusan pemotongan peruntukan berkenaan.

"Saya percaya Kerajaan Perpaduan akan mengambil maklum akan isu ini dan sudi untuk menambah peruntukan lagi demi kebaikan rakyat dan saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyalurkan dana projek kecil luar bandar (MRP) selepas pembentangan Belanjawan (2023) pada 24 Februari nanti," ujarnya.

Terdahulu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar berkata pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen (gambar) turut berharap agar keputusan pemotongan itu dapat dipertimbangkan untuk kebaikan rakyat.

"Semua MP berhadapan situasi seperti ini iaitu peruntukan dana dikurangkan.

"Pemotongan dana ini bakal menjejaskan dan memberi kesan kepada apa-apa program dan inisiatif yang hendak dilakukan di kawasan masing-masing," katanya.

Oleh sebab itu katanya, beliau berharap kepimpinan Kerajaan Perpaduan melihat dan menilai semula keputusan ini kerana menerusi peruntukan ini, ia banyak membantu memperkasakan komuniti di negara ini.

"Sehubungan itu, kita berharap keputusan ini dipertimbangkan kerana Sabah dan Sarawak khasnya masih memerlukan pembangunan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement