Anda di sini

Pembangkang harus berlaku adil, terima pelantikan Nurul Izzah: Ling

Advertisement
 

MIRI: Pembangkang seharusnya berlaku adil dengan menerima pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling berkata, pelantikan itu harus dilihat sebagai satu perkhidmatan dan teladan yang baik kerana Nurul mahu mencurah bakti dan pengetahuan membantu pentadbiran negara. 

"Kita kena berlaku adil kepada anak kepada seorang Perdana Menteri. Sekiranya anak Perdana Menteri berkaliber, berkeupayaan, berpendidikan, berpengalaman dan pernah menjadi Ahli Parlimen beberapa penggal, saya rasa kita tidak harus melucutkan peluang dia untuk berkhidmat kepada negara," jelas Ling pada Jumaat.

Menurut Ling, pembangkang  seperti bankrap idea kerana menggesa Perdana Menteri menarik balik pelantikan Nurul Izzah.

Mereka harus memainkan peranan mereka sebagai pembangkang yang konstruktif. 

"Dia berkecimpung dalam politik sejak dari usia muda. Dan sekarang ini membekalkan perkhidmatan kepada negara tanpa menerima sebarang elaun. Itu harus dipuji.

"Kita tidak boleh, oleh kerana dia anak Perdana Menteri dan oleh sebab itu dia tidak boleh berkehadapan dan melakukan benda lain.

"Dia bukan seorang yang tidak dikenali dalam arena politik. Saya rasa kita harus berlaku adik terhadap kepada Nurul Izzah dan adil terhadap Perdana Menteri kita. 

"Sudah cukup jelas tawaran tersebut tidak mempunyai sebarang upah dan bayaran," jelasnya. 

Ling meminta pembangkang untuk fokus kepada tuduhan dan siasatan ke atas mereka yang antaranya kes politik wang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. 

Beliau berharap pembangkang berhenti memainkan isu tersebut dan bertindak dengan lebih profesional.

Dalam pada itu, pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kelayakannya. 

Anwar dipetik sebagai berkata,  ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins Amerika Syarikat sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, beliau berkata, Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun atas perlantikkannya itu. 
 

  • oleh
  • Advertisement