Anda di sini

Mesin retort ditempatkan di premis industri makanan, perkasa program food bank

Advertisement
 Georgie semasa menyerahkan mesin pembungkusan retort kepada Abdul Kadir.
SERAH: Georgie semasa menyerahkan mesin pembungkusan retort kepada Abdul Kadir.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah terus komited dalam memperkasakan program Food Bank Malaysia (FBM) dengan menempatkan mesin pembungkusan retort di premis pengusaha industri makanan di negeri ini.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata usaha itu bagi membantu rakyat dan pengguna memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada pembaziran.

“Sebagai perintis projek ini di Sabah, KPDN menyerahkan satu unit mesin pembungkusan retort pada 2 Februari lalu kepada sebuah restoran iaitu BTC Maju Holding Sdn. Bhd. melalui Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Kadir M.E Sikkandar.

“Inisiatif ini adalah kaedah terbaik dalam mengendalikan lebihan makanan yang dihasilkan oleh industri makanan, peruncitan, hotel dan restoran sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pembaziran dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya teknologi pembungkusan retort adalah kaedah pengawetan makanan tanpa menggunakan bahan kimia serta menggunakan teknik aseptik iaitu mengelakkan dari sebarang mikroorganisma membiak. 

“Teknologi ini menggunakan haba yang tinggi dengan kaedah pensterilan untuk membunuh atau melumpuhkan bakteria berbahaya. 

“Jangka hayat lebihan makanan yang melalui proses retort ini juga mampu ditingkatkan antara 18 hingga 24 bulan,” katanya.  

Beliau berkata pelaksanaan proses pembungkusan secara retort bagi Program FBM melibatkan pelbagai pihak iaitu Sekretariat Food Bank Malaysia (SFBM), KPDN Negeri, industri perhotelan, katering dan pengeluar produk makanan. 

“Golongan sasar bagi program ini pula tertumpu kepada keluarga kurang berkemampuan dalam golongan kumpulan B40 dengan mengutamakan keluarga yang mempunyai tanggungan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas.

“Keluarga yang mengalami atau terkesan oleh bencana alam seperti banjir dan kebakaran turut diutamakan selain pelajar yang tergolong dalam kumpulan B40 dengan keluarga berpendapatan bawah RM1,000 serta pelajar yang memerlukan,” katanya sambil menambah golongan ini akan dikenal pasti dari semasa ke semasa.

Katanya KPDN Sabah amat mengalu-alukan syarikat atau pasarraya yang berpontensi untuk menjadi penyumbang kepada projek ini sekaligus dapat membantu mengurangkan kadar pembaziran dalam negara. 

“Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat membantu rakyat dan pengguna memanfaatkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada dibazirkan,” katanya.

Dalam pada itu katanya semasa penyerahan mesin pembungkusan retort tersebut, perbincangan mengenai pelaksanaan Program Menu Rahmah juga diadakan dengan Abdul Kadir yang juga Penasihat Dewan Perniagaan India Muslim Sabah.

  • oleh
  • Advertisement