Anda di sini

Menu Rahmah perlu diwujudkan di Sabah, Sarawak dan Labuan

Advertisement
MASIUNG
MASIUNG

KOTA KINABALU: Program Menu Rahmah wajar diperluaskan sehingga ke Sabah, Sarawak dan Labuan agar rakyat di wilayah Borneo itu turut menikmati inisiatif tersebut. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, pihaknya menyambut baik usaha berkenaan dan berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dapat mewujudkan sesi libat urus bagi melaksanakan program berkenaan di tiga wilayah berkenaan.

Katanya, program itu amat besar manfaatnya jika ia diwujudkan dalam permis makanan khususnya kawasan perkampungan universiti atau institusi pendidikan awam.

“Sekurang-kurangnya program berkenaan dapat meringankan perbelanjaan golongan pelajar kalangan B40 yang bergantung sepenuhnya dengan perbelanjaan ibu bapa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, baru-baru ini kerajaan persekutuan telah memperkenalkan Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga serendah RM5 ke bawah bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah. 

"Kita melihat inisiatif ini memang bagus serta mampu menjadi daya tarikan pengunjung ke permis makanan bagi menjimatkan perbelanjaan harian. 

"Tawaran harga juadah disediakan cukup berpatutan dan dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi sekarang," katanya.

Masiung berkata, adalah kurang adil jika program itu hanya diperkenalkan di Semenanjung Malaysia, oleh itu penduduk di wilayah Borneo juga perlu dilibatkan supaya wujud inisiatif sama rata. 

Bagaimanapun katanya, kementerian berkenaan diingatkan agar sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa, supaya peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasikan Menu Rahmah. 

Katanya lagi, menu itu merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur yang ditawarkan untuk sajian tengahari dan malam.
 

  • oleh
  • Advertisement