Anda di sini

Man Utd, Newcastle bertemu di final

Advertisement
Babak aksi perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris di antara Man Utd dan Forest di Old Trafford. — Gambar AFP
Babak aksi perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris di antara Man Utd dan Forest di Old Trafford. — Gambar AFP

MANCHESTER: Manchester United mengesahkan tiket ke final Piala Liga Inggeris dengan menentang Newcastle United di Stadium Wembley pada 26 Februari selepas menewaskan Nottingham Forest 2-0 untuk kemenangan agregat 5-0 pada perlawanan separuh akhir.

Anthony Martial dan Fred menjaringkan gol kemenangan buat skuad kendalian Erik ten Hag pada 17 minit terakhir perlawanan separuh akhir kedua, sekali gus memastikan United menempah tempat ke final pertama Piala Liga Inggeris sejak enam tahun.

United sudah melangkah sebelah kaki ke final selepas membelasah Forest 3-0 di City Ground pada perlawanan pertama, membolehkan Ten Hag merombak skuad yang masih terlibat dalam empat pertandingan.

Ten Hag melakukan enam pertukaran dari skuad yang menewaskan Reading 3-1 pada perlawanan pusingan keempat Piala FA Sabtu lepas di mana Marcus Rashford adalah antara yang bermula di bangku simpanan tetapi Casemiro dan Bruno Fernandes masih diturunkan dalam kesebelasan utama walaupun dengan jadual padat.

United gagal mempamerkan tahap kualiti permainan yang sama seperti pada perlawanan pertama tetapi mereka bernasib baik apabila pemain Forest, Brennan Johnson dan Emmanuel Dennis gagal menyempurnakan peluang dalam separuh masa kedua.

Wout Weghorst membuka jaringan bersama United apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam liga sebelum ini dan penyerang antarabangsa Belanda itu hampir menjaringkan gol pertamanya di Old Trafford apabila tandukannya dari umpanan Casemiro sedikit tinggi sebelum rehat.

Ten Hag menerima bajet yang terhad pada pasaran perpindahan bulan Januari selepas berbelanja lebih 200 juta pound pada musim panas dengan hanya ketibaan pemain untuk kontrak pinjaman seperti Weghorst, Marcel Sabitzer dan Jack Butland.

Tetapi kepulangan Jadon Sancho adalah tepat pada masanya untuk meningkatkan pilihan di jentera serangan United.

Sancho tidak beraksi sejak bulan Oktober kerana masalah fizikal dan mental tetapi meraikan kepulangannya selepas satu jam permainan.

Rashford dan Martial juga dimasukkan bersama-sama Sancho dan membuat impak segera.

Martial membuka jaringan selepas rembatan awal Rashford dihadang dan tiga minit kemudian Rashford mengumpan bola kepada Fed untuk menambah jaringan.

Perlawanan lebih sukar menanti United apabila akan menentang Newcastle United tetapi Ten Hag kini hanya kurang satu kemenangan untuk menamat kemarau enam tahun tanpa kejuaraan buat United. — AFP
 

Advertisement