Anda di sini

Mahkamah Tinggi Miri kekalkan keputusan lepas, bebas remaja dituduh rogol gadis ketika di lokap

Advertisement
Kompleks Mahkamah Miri.
Kompleks Mahkamah Miri.

MIRI: Mahkamah Tinggi Miri pada Jumaat mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan seorang remaja lelaki daripada pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur ketika ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri pada Januari 2021. 

Hakim Dean Wayne Daly menolak rayuan pendakwaan serta menyatakan mahkamah telah mempertimbangkan dengan sewajarnya isu yang dibangkitkan dalam rayuan itu, tetapi mendapati tiada merit dalam rayuan tersebut. 

“Hakim Mahkamah Sesyen tidak salah secara undang-undang atau keterangan fakta ketika menyimpulkan kes untuk melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan pada akhir kes pendakwaan. 

“Oleh itu, hakim tidak tersilap dalam undang-undang dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan (pendakwaan) dan mengekalkan perintah Hakim Mahkamah Sesyen bahawa tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya. 

Tertuduh diwakili peguam, Ranbir Singh Sangha manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Fahmi yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji. 

Sementara itu, tertuduh yang memakai baju kurta berwarna biru berserta kopiah dilihat mengucapkan rasa syukur dan mencium tangan Ranbir Singh sejurus keputusan dibuat. 

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Miri Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff pada 13 Disember 2021 membuat keputusan penghakimannya dengan melepas dan membebaskan tertuduh daripada tuduhan merogol seorang gadis bawah umur selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. 

Tertuduh pada masa kejadian berusia 19 tahun dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol gadis berusia 16 tahun di dalam tandas lokap Balai Polis Pusat Miri di sini. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 9 Januari 2021 pada jam kira-kira 4 pagi.
 

  • oleh
  • Advertisement