Anda di sini

Jangan ceroboh kawasan pepasangan SESB

Advertisement
 
IDRIS
IDRIS

KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan pepasangan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terutama kawasan pencawang elektrik dan menara elektrik yang mempunyai potensi terkena renjatan elektrik selain boleh mengakibatkan kematian.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata sebarang aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan dengan talian penghantaran elektrik bervoltan tinggi adalah sangat merbahaya.

“Semua pencawang dan menara talian penghantaran elektrik adalah kawasan yang berisiko untuk terkena renjatan elektrik.

Sebarang aktiviti yang dilakukan berhampiran pepasangan ini boleh mengundang bahaya sekiranya faktor keselamatan diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Idris berkata demikian selepas video menunjukkan terdapat perkuburan di bawah menara talian penghantaran elektrik SESB yang ditularkan baru-baru ini.

Beliau berkata perbuatan mengorek lubang di bawah menara penghantaran elektrik milik SESB adalah satu pencerobohan dan boleh menjejaskan kestabilan menara tersebut.

Tambahnya aktiviti lain yang berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik, kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram dan juga menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam.

“Aktiviti terbabit boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa,” katanya.

Dalam pada itu katanya SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam dipertingkat.

“Sehubungan dengan itu, SESB memohon jasa baik semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti membahayakan berhampiran pepasangan elektrik SESB, berkenaan dengan tiang tumbang, atau sebarang masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement