
KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah semakin berkurang dan hanya 397 orang daripada 103 keluarga yang masih berada di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan Beaufort masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 209 orang daripada 58 keluarga di Dewan Serbaguna Selagon.
“Jumlah ini diikuti 101 orang di dua PPS di Telupid, 48 mangsa di Beluran dan 39 mangsa di Tawau.
“Dua daerah mencatatkan jumlah mangsa kekal manakala Telupid menunjukkan trend penurunan sementara Beaufort mencatatkan peningkatan mangsa di PPS di daerah terbabit,” katanya.
Beliau berkata PPS terakhir di Paitan ditutup secara rasmi pada jam 11:30 pagi manakala satu PPS di Telupid turut ditutup menjadikan enam buah PPS masih aktif di Sabah.
Tambahnya dijangka lebih ramai mangsa dibenar pulang sekiranya keadaan cuaca semakin baik.