Anda di sini

Empat sekeluarga terjejas, rumah digenangi air sejak Ahad lalu

Advertisement
Keadaan rumah mangsa di Julau yang dinaiki air sejak 29 Januari lalu yang masih belum surut hingga ke hari ini.
Keadaan rumah mangsa di Julau yang dinaiki air sejak 29 Januari lalu yang masih belum surut hingga ke hari ini.

JULAU: Empat sekeluarga terpaksa menumpang dan memindahkan barangan penting milik mereka di rumah saudara setelah rumah mereka dinaiki air sejak 29 Januari lalu hingga ke hari ini.

Kejadian itu menimpa keluarga Chong Chet Fat, 37, yang tinggal di sebuah rumah yang dibina melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Jalan Entabai Julau, berhampiran Dewan Masyarakat Julau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 pagi tadi.

"Sejurus menerima panggilan tersebut, seramai enam anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi yang terletak 40 kilometer dari balai untuk memantau situasi laporan dan menghulurkan bantuan kepada mangsa.

"Ketika sampai di lokasi tersebut, anggota bomba mendapati rumah mangsa dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

"Berdasarkan maklumat daripada penghuni, rumah tersebut telah dinaiki air pada Ahad lepas (29 Januari) dan belum lagi surut akibat kawasan tersebut menjadi takungan air dan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu," kata Nicholas kepada media hari ini.

Namun demikian katanya, tiada aktiviti pemindahan penghuni dilakukan ke pusat pemindahan banjir di kawasan itu kerana keluarga terbabit menumpang di rumah saudara mereka yang terletak bersebelahan.

Menurut Nicholas, ketika pemeriksaan dilakukan, anggota bomba mendapati cuaca mendung dan berisiko untuk berlaku hujan.

"Berdasarkan situasi tersebut, anggota bomba turut menasihatkan penduduk tentang risiko hujan dan air naik, justeru mereka perlu sentiasa berhati-hati dan menberikan tumpuan terhadap situasi semasa.

"Anggota bomba turut mengingatkan penduduk agar menghubungi pihak bomba atau agensi berkaitan lain jika paras air di lokasi tersebut menunjukkan peningkatan dan berbahaya," ujar Nicholas.
 

  • oleh
  • Advertisement