Anda di sini

Coast Guard Malaysia: Ops Helang tonjol peranan Maritim Malaysia jaga perairan negara

Advertisement
 Ops Helang di GSC 1Borneo di sini.
BAGUS: Mohd Rosli (empat dari kiri) meununjukkan tanda bagus semasa bergambar bersama pegawai dan anggota Maritim Malaysia sebelum menonton filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang di GSC 1Borneo di sini.

KOTA KINABALU: Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mempamerkan aksi tempatan yang berkisar mengenai peranan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menarik, mendebarkan dan membanggakan, itu antara reaksi terhadap filem berkenaan selepas dipertontonkan kepada media bersama pegawai dan anggota Maritim Malaysia di GSC 1Borneo di sini semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah turut sama menonton filem berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap karya perfileman tempatan yang berjaya menghasilkan filem berkualiti, lebih-lebih lagi berhubung kait dengan tugas Maritim Malaysia.

Mohd Rosli ketika ditemui berkata filem itu bukan saja menonjolkan peranan Maritim Malaysia sebagai pasukan keselamatan yang menguatkuasakan undang-undang di laut tetapi peranan menjaga keselamatan perairan negara termasuk kerja-kerja mencari dan menyelamat di laut.

"Saya syorkan pada semua penggemar filem untuk menonton Coast Guard Malaysia: Ops Helang, sokonglah filem tempatan kita," katanya.

Menurutnya, filem itu juga adalah satu filem yang menarik, padat dengan aksi daripada awal sehingga hujung cerita.

"Datanglah beramai-ramai bersama keluarga untuk menonton filem ini dan secara tidak langsung mereka akan lebih memahami peranan yang dimainkan oleh Coast Guard Malaysia. 

"Dalam masa yang sama, mereka dapat juga melihat fungsi dan peranan Maritim Malaysia dan jika berminat boleh turut serta sebagai salah seorang warga Maritim Malaysia 'Coast Guard' Malaysia," katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang mengetengahkan tugas dan peranan atau tanggungjawab Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia itu menampilkan gandingan hebat dua actor dan aktres popular tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Ia mula ditayangkan semalam di semua pawagan seluruh negara, termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei.

  • oleh
  • Advertisement