
KANOWIT: Buragas United dari Kapit mengungguli Kejohanan Futsal Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan 2023 yang berlangsung pada hujung minggu lalu di Stadium Tertutup Kanowit.
Naib juara disandang oleh Machan FC B dari Kuching manakala tempat ketiga bersama dimenangi oleh Hacker FT dari Sarikei dan Nova Army dari Kanowit.
Juara pertandingan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, piala dan medal manakala naib juara meraih wang tunai RM3,000 berserta piala dan medal.
Tempat ketiga bersama masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,000 berserta piala dan medal.
Terdahulu, ADUN Machan, Allan Siden Gramong merasmikan sepak mula pertandingan itu dianjurkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan dengan kerjasama Machan FC.
Sebanyak 20 pasukan dari Sematan, Kuching, Sri Aman, Sarikei, Bintangor, Sibu, Kapit, Song dan Kanowit menyertai pertandingan tersebut.