Anda di sini

Bayern belasah Mainz 4-0 dalam aksi Piala Jerman

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perrlawanan Piala Jerman pusingan 16 akhir di antara Mainz dan Bayern Munich di Mainz. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perrlawanan Piala Jerman pusingan 16 akhir di antara Mainz dan Bayern Munich di Mainz. — Gambar AFP

BERLIN: Pemain baharu Bayern Munich, Joao Cancelo mengumpan satu gol untuk membantu Bayern meraih kemenangan pertama mereka tahun ini apabila membelasah Mainz 4-0 dalam aksi Piala Jerman pada Rabu.

Cancelo, yang menyertai Bayern untuk kontrak pinjaman dari Manchester City pada Selasa, membuat impak segera apabila mengumpan bola kepada Eric Maxim Choupo-Moting untuk melakukan penyudah dari jarak dekat.

Tanpa kemenangan dari tiga perlawanan liga pertama tahun ini, Bayern memulakan perlawanan dengan sedikit tekanan untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Jerman buat kali pertama dalam tiga musim terakhir.

Gol Choupo-Moting pada minit ke-17 mengurangkan tekanan Bayern dan mereka menambah jaringan pada minit ke-30 apabila Thomas Mueller mengumpan bola kepada Jamal Musiala untuk merembat ke pintu gol.

Leroy Sane menjaringkan gol ketiga ketika berbaki satu minit permainan sebelum rehat hasil umpanan Choupo-Moting, yang juga bekas penyerang Mainz.

Alphonso Davies, yang dimasukkan menggantikan Cancelo ketika berbaki 20 minit permainan, melengkapkan jaringan pada lewat permainan dari  umpanan Matthijs de Ligt.

Mainz mempunyai beberapa peluang dalam separuh masa kedua namun pemain pertahanan tengahnya, Alexander Hack dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua perlawanan, bersama-sama Bo Svensson, yang juga dibuang padang selepas menerima kad merah kerana mempertikai keputusan penjaga garisan tidak lama sebelum gol Davies.

Svensson mengadu bahawa Bayern menerima layanan lebih baik dari pengadil sebelum dilayangkan kad merah.

“Saya melihat dengan jelas perbezaannya dari bangku simpanan dan cara kami dilayan oleh pengadil. Ini bukan kali pertama.”

Jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann memuji pasukannya dengan berkata mereka “lebih agresif” berbanding perlawanan lain tahun ini.

 “Saya gembira kami menang sekali lagi. Saya fikir gaya dan cara di mana kami bermain adalah sangat bagus.”

Pada perlawanan lain, bekas penyerang Chelsea, Timo Werner menjaringkan gol lewat untuk membantu RB Leipzig menang 3-1 ke atas Hoffenheim.

Werner, yang kembali ke Leipzig selepas dua tahun di Chelsea pada musim panas tahun lepas, mengharungi malam yang sukar dan beberapa kali gagal melepasi perangkap ofsaid.

Dia bagaimanapun berjaya melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-83 untuk menyempurnakan hantaran Yussuf Poulsen untuk melengkapkan jaringan.

Leipzig, yang belum tewas di tempat sendiri dalam liga setakat musim ini, membuka jaringan seawal minit kelapan apabila Emil Forsberg melihat penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann sedikit jauh dari posisinya ketika melakukan rembatan jarak jauh.

Leipzig menambah jaringan sebelum rehat menerusi gol Konrad Laimer tetapi Kasper Dolberg merapatkan kedudukan pada minit ke-77 untuk memastikan penamat yang mendebarkan buat Leipzig.

Werner bagaimanapun menjaringkan  gol keempatnya dalam pertandingan piala untuk menamatkan kebangkitan Hoffenheim.

“Kami menunjukkan bahawa kami mahu melangkah jauh dalam pertandingan ini,” kata Forsberg.

“Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama, kami benar-benar memberi fokus. Kami boleh menamatkan saingan lebih awal tetapi ia kemenangan selayaknya.”

Bekas pemain Borussia Dortmund, Thomas Delaney, yang berpindah ke Hoffenheim pada  Isnin, memberitahu bahawa “kami mempunyai pasukan dan pemain yang hebat tetapi kurang keyakinan ketika ini.”

Kapten Hoffenheim, Baumann, bersetuju dengan berkata pasukannya berharap untuk membina keyakinan dengan keputusan lebih baik dalam pertandingan piala.

Hoffenheim ketika ini berada di tangga ke-13 liga, tiga mata di atas slot playoff penyingkiran liga, dengan Baumann mengakui pasukannya perlu menyedari bahawa “kami berada dalam saingan mengelak penyingkiran.” — AFP
 

Advertisement