Anda di sini

Abang Johari amat prihatin rancangan pembangunan semula Sibu, peruntuk RM1 bilion: Dr Sim

Advertisement
Dr Sim (tiga kiri) memberikan angpow kepada tarian singa sambil diperhatikan oleh (dari dua kiri) Ting, Tiang, Chieng dan yang lain.
Dr Sim (tiga kiri) memberikan angpow kepada tarian singa sambil diperhatikan oleh (dari dua kiri) Ting, Tiang, Chieng dan yang lain.

SIBU: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, Premier Sarawak amat prihatin dengan rancangan pembangunan semula di Sibu dan telah memperuntukkan dana RM1 bilion untuk tujuan itu.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan Belanda telah menyatakan hasratnya untuk memberikan bantuan teknikal bagi menyelesaikan masalah banjir di Sibu.

"Kerajaan Sarawak juga akan melawat Belanda pada akhir bulan ini untuk membincangkan penyelesaiannya.

"Pelan pembangunan semula itu juga akan melibatkan sebahagian besar kawasan Sibu dan itu juga termasuk pembinaan tasik," ujarnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina SUPP Sibu di Dewan Suarah malam Khamis.

Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak itu menggesa penduduk Sibu supaya tidak membeli rumah di Kuching memandangkan Sibu akan berkembang maju pada masa akan datang.

“Sibu akan menjadi kaya dan hebat. Ini rancangan kerajaan untuk Sibu,” tegasnya.

Sim turut memberitahu bahawa Sarawak telah mengalami perubahan besar sejak 10 tahun lalu di bawah kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Sarawak telah memperoleh kemerdekaan politik dan ekonomi sejak itu, selain telah meningkatkan pendapatannya daripada RM7 bilion pada 2018 kepada RM11.9 bilion pada 2022.

Katanya, kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk RM6.7 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan semasa pandemik Covid-19.

"Marilah kita sama-sama menyayangi dan melindungi Sarawak serta berusaha ke arah mencapai negeri yang sejahtera menjelang 2030," tambah Sim.

Hadir sama pada majlis ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II dan ADUN Pelawan Michael Tiang, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Senator Robert Lau Hui Yew, Temenggong Datuk Vincent Lau dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting.
 

  • oleh
  • Advertisement