Anda di sini

Warga China maut diserang di Ethiopia  

Advertisement
 

NAIROBI: Seorang warga China terbunuh di wilayah Oromia Ethiopia yang bergolak, kata kedutaan Beijing di Addis Ababa kelmarin, mengarahkan rakyatnya berpindah dari kawasan berisiko tinggi.

Sembilan warga China diserang di Gebre Guracha pada petang Isnin, kira-kira 160 kilometer di utara ibu negara, kata kedutaan dalam satu kenyataan.

“Malangnya, seorang daripada mereka ditembak dan mati,” katanya, tidak memberikan maklumat lanjut mengenai kejadian itu atau warga China itu.

Walaupun ketenangan telah kembali ke wilayah Tigray utara selepas dua tahun perang kejam, pertempuran masih berterusan di tempat lain di Oromia, wilayah terbesar dan paling ramai penduduk di Ethiopia yang dihantui oleh pemberontakan yang berpanjangan.

Oromo, kumpulan etnik terbesar Ethiopia, telah lama mengadu tentang isu peminggiran.

Pemberontak, Tentera Pembebasan Oromo (OLA) telah mengeksploitasi kebencian yang semakin meningkat ini untuk menambah barisannya dalam pertempuran selama bertahun-tahun dengan pasukan persekutuan dan serantau.

Tetapi rantau ini juga dibelenggu dengan rekahan etnik lain, terutamanya antara Oromo dan Amhara, kumpulan etnik kedua terbesar di negara itu.

Kelmarin, pihak berkuasa China berkata bahawa kes berbahaya melibatkan serangan bersenjata, penculikan, dan rompakan berleluasa di Oromia dan wilayah bersempadan.

Ia menyeru rakyatnya untuk meningkatkan kesedaran keselamatan mereka dan meninggalkan kawasan yang masih dilanda konflik.

“Jika anda sudah berada di kawasan berisiko tinggi, anda harus berpindah ke kawasan selamat dengan segera,” katanya.

Berbanding dengan perang Tigray, konflik di Oromia kurang menarik perhatian sedunia tetapi masih me-nimbulkan ancaman kepada kestabilan di negara kedua paling ramai penduduk di Afrika itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken, bercakap dalam satu panggilan dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed bulan ini, menyuarakan kebimbangan mengenai situasi di Oromia. — AFP 
 

Advertisement