Anda di sini

Tidak hormati lagu kebangsaan: Pihak pendakwaan mohon kebenaran mengemukakan semula rayuan kes

Advertisement
(Dari kiri) Leong Shaow Tung, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping, Andrew Chong, Phang Ngin Pen dan Bong Sak Sin. Kon Tai Keong tidak hadir.
(Dari kiri) Leong Shaow Tung, Tan Kok Chiang, Pui Ping Ping, Andrew Chong, Phang Ngin Pen dan Bong Sak Sin. Kon Tai Keong tidak hadir.

KUCHING: Pihak pendakwaan kes tujuh individu yang didakwa tidak menghormati lagu kebangsaan memohon kebenaran di Mahkamah Tinggi di sini, semalam untuk mengemukakan semula rayuan kes itu.

Suruhanjaya Kehakiman Zaleha Rose Pandin menetapkan 6 Mac 2023 untuk memantau status rayuan kes tersebut. 

Sebelum ini, tujuh individu iaitu Leong Shaow Tung, Kon Tai Keong, Bong Sak Sin, Andrew Chong, Phang Ngin Pen, Tan Kok Chiang dan Kui Ping Ping, dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri oleh Mahkamah Majistret pada 2020.

Ketujuh-tujuh mereka didakwa menunjukkan rasa tidak hormat terhadap lagu kebangsaan di tempat awam dengan tidak berdiri di sebuah hotel di Kuching pada 2019.

Difahamkan, mereka bertujuh didakwa enggan berdiri sebagai reaksi menentang isu royalti minyak yang diperuntukkan kepada Sarawak ketika itu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tujuh individu itu diwakili peguam mereka Arthur Lee.
 

Advertisement