Anda di sini

Siasatan, pengubahsuaian projek kerajaan perlu ikut SOP

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Semua siasatan dan pengubahsuaian yang diperlukan sebelum dan selepas kelulusan projek kerajaan perlu dijalankan dengan betul dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, langkah itu bagi memastikan setiap projek yang diluluskan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, setiap  projek yang dijalankan seharusnya tiada kelemahan yang disalahgunakan dan kerajaan tidak menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut mengingatkan semua jabatan dan agensi kerajaan supaya memastikan segala usaha membabitkan pengendalian projek kerajaan dilaksanakan sewajarnya.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan untuk semua projek tanpa mengira nilainya.

"Ini bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat kerana itu tujuan setiap projek dilaksanakan.

"Kerajaan mahu memastikan rakyat Sabah menikmati faedah pembangunan dan penambahbaikan kepada kehidupan dan mata pencarian mereka, justeru kita mesti sentiasa melakukan apa yang betul dan bukan apa yang popular," katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Akaun Amanah K56 di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Masidi berkata, projek dari semua peringkat dan nilai perlu dilayan dengan penuh perhatian yang sama tanpa mengira sama ada ia dijalankan oleh kontraktor atau syarikat konsesi.

Terdahulu pada Rabu lepas, semasa mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet turut mengalu-alukan Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt yang baharu dilantik selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin minggu lepas.

"Saya mengalu-alukan Tan dan saya percaya pasukan kita diperkukuhkan lagi dengan kehadiran beliau bersama-sama dengan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Politik Rina Jainal," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement