Anda di sini

Sarawak Design Week 2023 dari 13 hingga 16 Februari di BCCK

Advertisement
Dayang Nena (tengah) menerangkan mengenai Sarawak Design Week 2023 semasa sidang media pada 11 Januari 2023. Turut kelihatan, Pengerusi SARADEC Datuk Mohd Naroden Majais (kiri) dan Presiden SFIA Leo Chiang Kok Sze.
Dayang Nena (tengah) menerangkan mengenai Sarawak Design Week 2023 semasa sidang media pada 11 Januari 2023. Turut kelihatan, Pengerusi SARADEC Datuk Mohd Naroden Majais (kiri) dan Presiden SFIA Leo Chiang Kok Sze.

KUCHING: Sarawak Design Week 2023 bakal berlangsung dua minggu sahaja lagi iaitu dari 13 hingga 16 Februari 2023, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Acara bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu dijangka dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ekspo yang diterajui reka bentuk itu akan menghimpunkan beberapa minda inovatif dan kreatif dalam industri reka bentuk, selain mempamerkan trend terkini serta teknologi dalam seni bina, fesyen, reka bentuk grafik dan banyak lagi.

Pameran utama ekspo itu ialah Pavilion SayD'Signers dan bakal menyaksikan pelawat melihat prototaip reka bentuk 'bespoke', 'butik' dan 'solid' oleh pereka muda di bawah program SayD'Signers Sarawak.

Terdapat juga seksyen untuk hasil reka bentuk di bawah program SayD'Signers Link and Match (SLIM), pavilion antarabangsa, sudut kraf kanak-kanak, pavilion kraf, serta gerai perdagangan di tingkat bawah dan pengunjung boleh membeli produk reka bentuk daripada vendor yang mengambil bahagian.

Selain itu, Speaker Corner turut disediakan dan melaluinya pengunjung akan memperoleh pengetahuan tentang reka bentuk daripada penceramah yang dijemput khas dari Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Korea. 

Turut diadakan, cabutan bertuah pada penghujung hari, dengan hadiah menarik menanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Saradec Dayang Nena Abang Bruce berkata, beliau sangat teruja dengan Sarawak Design Week 2023 dan menantikan acara yang telah dirancang dengan teliti oleh pihaknya itu sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, ia adalah platform yang hebat untuk mempamerkan reka bentuk anak tempatan Sarawak, terutamanya prototaip reka bentuk unik oleh SayD'Signers.

“Saradec, ekspo sulung yang diterajui reka bentuk ini akan menjadi wadah untuk mempromosikan reka bentuk kita ke pasaran antarabangsa.  

“Saya berharap acara ini akan memacu pertumbuhan yang lebih besar dalam industri perabot Sarawak khususnya, dan industri perkayuan secara keseluruhannya,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Minggu reka bentuk itu juga katanya, bertujuan untuk meletakkan Sarawak sebagai hab reka bentuk di Malaysia.

Sarawak Design Week 2023 dianjurkan oleh Saradec dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, serta disokong oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC).

Rakan kongsi strategiknya termasuk Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA), Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Yayasan Tun Jugah, CENTEXS Commercial, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kolej Komuniti, Ran & Nong Creations, Dr Dorothy & Group, serta penglibatan daripada sektor ekonomi, perdagangan dan pelancongan.

Sebaik sahaja dilancarkan, ia akan menjadi acara diterajui reka bentuk buatan sendiri pertama yang akan diadakan di Sarawak dan ditetapkan untuk menjadi acara tahunan dalam Kalendar Acara Negeri.

Layari sarawakdesignweek.com untuk maklumat lanjut.
 

Advertisement