Anda di sini

RM27.02 juta untuk pembangunan dan kemajuan sukan Sabah

Advertisement
HAJIJI
HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM27.02 juta dalam Belanjawan Sabah 2023 untuk perbelanjaan pembangunan dan kemajuan sukan termasuk menjalankan kajian Sains Sukan bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta agensi berkaitan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata RM21.6 juta turut diperuntukkan bagi kerja membaikpulih kompleks sukan termasuk arena belia di seluruh negeri bagi  memastikan kemudahan sukan dan asrama dalam keadaan baik dan kondusif.

“Dengan peruntukan yang disediakan itu, kerajaan berharap lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan serta menyediakan prasarana dan teknologi sukan yang moden dari semasa ke semasa dalam memenuhi keperluan atlet untuk berlatih secara lebih efisien.

“Menerusi Dasar Sukan Negeri Sabah, kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat untuk mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan kepada Kontinjen Para Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Sabah sempena Para SUKMA XX MSN 2022 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.

Katanya kerajaan negeri sentiasa komited dalam pembangunan sukan dan atlet di negeri ini bagi memastikan golongan ini dapat bersinar ke peringkat antarabangsa.

“Pembangunan belia dan beliwanis melalui aktiviti sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam membentuk sasiah masyarakat yang harmoni, bertoleransi dan bersatu-padu.

“Kita harapkan lebih ramai anak-anak muda Sabah akan bergiat aktif dalam sukan di negeri ini,” katanya.

Hajiji juga berbangga dengan pencapaian Sabah melepasi sasaran memenangi 40 pingat emas seterusnya menjuarai temasya Para SUKMA 2022 dengan membawa pulang 54 pingat emas, 36 pingat perak dan 35 pingat gangsa.

Katanya kejayaan itu melayakkan atlet, jurulatih dan pengurus pasukan menerima insentif dengan nilai keseluruhan sebanyak RM526,100 termasuk RM405,700 kepada atlit, RM98,400 kepada jurulatih-jurulatih dan insentif sebanyak RM12,000 kepada pengurus-pengurus pasukan.

Menurutnya, pasukan olahraga muncul sebagai pasukan paling cemerlang semasa Para SUKMA 2022 dengan menyumbangkan 30 pingat emas, 18 pingat perak dan 17 pingat gangsa yang membolehkan mereka menerima jumlah insentif tertinggi bernilai RM262,200, diikuti acara renang dengan insentif bernilai RM128,900 dan ping pong bernilai RM64,100.

“Semoga pemberian insentif ini menambah lagi semangat atlet untuk terus melakar kejayaan untuk diri sendiri dan negeri ini serta mengharumkan nama Sabah. 

“Saya akan terus memberikan sokongan dalam pembangunan sukan dan melahirkan lebih ramai atlet untuk mewakili Sabah pada masa hadapan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement