Anda di sini

Lelaki Indonesia mengaku kendali mesin judi didenda RM10,000

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dari Kalimantan Barat dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengendalikan mesin perjudian pada Januari.

Tju Miaw Bie, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali sebaik didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dirampas, dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Lorong Kota Padawan di sini sekitar jam 3.45 petang pada 22 Januari 2023.

Berdasarkan fakta kes, polis melakukan serbuan di premis berkenaan kerana mengesyaki terdapat kegiatan perjudian berunsurkan mesin slot dan seterusnya menahan tertuduh yang berada di premis itu.

Pemeriksaan lanjut di premis itu membawa kepada penemuan barangan disyaki diguna untuk menjalankan kegiatan perjudian, yang kemudiannya dirampas sebagai barang kes.

Antara lainnya adalah dua unit televisyen, lapan kayu ria, alat kawalan tambah nilai, modem Wi-Fi, telefon bimbit yang digunakan untuk tambah nilai, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM260.

Hasil siasatan mendapati barangan dirampas itu merupakan mesin perjudian susulan animasi permainan yang ditawarkan adalah berbentuk pertaruhan, selain mata kemenangan boleh ditebus dengan menggunakan wang ringgit di akhir permainan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement