Anda di sini

KPR fokus aktiviti kumpul dana beli bangunan sendiri

Advertisement
 Lucilla (duduk dua kanan), Natrah (duduk kanan), Nancy (duduk kiri) bersama Ahli KPR yang hadir pada majlis makan tengah hari itu.
KENANGAN: Lucilla (duduk dua kanan), Natrah (duduk kanan), Nancy (duduk kiri) bersama Ahli KPR yang hadir pada majlis makan tengah hari itu.

KOTA KINABALU: Kinabalu Pink Ribbon (KPR) menyasarkan untuk memiliki bangunan atau rumah sendiri tahun ini untuk menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pesakit kanser payudara yang menjalani rawatan di daerah ini.

Presiden KPR Datin Lucilla Pang berkata, usaha untuk mengumpul dana bagi merealisasikan hasrat itu antara fokus aktiviti yang akan dilaksanakan pertubuhan berkenaan tahun ini.

Katanya, dengan adanya rumah yang dikenali sebagai 'The Pink Haven' itu, pesakit yang datang dari daerah yang jauh dari kawasan bandar dapat menghuni di kediaman itu secara percuma sepanjang menjalani rawatan di hospital.

Menurutnya, rumah penginapan sementara itu juga akan dilengkapi kemudahan sepenuhnya dan pesakit juga boleh membawa ahli keluarga untuk menemani mereka tinggal bersama.

"Sekarang ini, kami mempunyai sebuah rumah penginapan yang dipinjamkan pihak pemaju secara percuma di kawasan Taman Prima Jaya Penampang.

"Khidmat penginapan untuk pesakit kanser payudara di rumah berkenaan disediakan sejak tiga tahun lepas dan pihak pemaju menyediakan rumah itu kepada pihak KPR secara tanpa sewa kira-kira lapan tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis makan tengah hari KPR bersama media di sini hari ini.

Katanya, bagi membantu usaha untuk mengumpulkan dana, pihaknya memfokuskan dua acara utama KPR tahun ini iaitu 'Mother's Day Walk Abreast' dan 'Gala Dinner'.

Lucilla berkata, dana yang dikumpulkan KPR menerusi acara utama itu adalah untuk membeli bangunan sendiri yang dinamakan 'The Pink Haven'.

"Rumah persinggahan ini juga memberikan sokongan jangka panjang kepada pesakit terutama sepanjang mereka menjalani rawatan.

"Kami mahu lebih ramai menyertai kami dalam mengumpul dana ini sekali gus memberi impak positif dan membawa perubahan kepada mereka yang dikesan menghidap kanser payudara.

"KPR adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang perlu mengumpul dana setiap tahun kerana tidak memperoleh sebarang geran dari kerajaan untuk melaksanakan aktiviti," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, KPR banyak menjalankan aktiviti bersama komuniti terutama dalam menyebarluaskan kepentingan kesedaran mengenai kanser payudara.

Beliau berkata, dengan kerjasama Klinik Payudara di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2, pihaknya memperoleh mesin ultrasound mudah alih untuk pengesanan dan rawatan awal.

"Dengan bantuan mesin ini, insiden kelewatan pemeriksaan akibat beratur panjang di hospital dapat dikurangkan selain membolehkan rawatan susulan segera.

"KPR juga menjalankan program outreach dengan memberi tumpuan kepada kawasan di dalam dan sekitar Kota Kinabalu, Penampang, dan daerah lain.

Turut hadir, mantan Presiden KPR Natrah Arif dan Nancy Tham.
 

  • oleh
  • Advertisement