Anda di sini

KPDN rekod 139 kes, catat kompaun RM20,700 sepanjang Januari

Advertisement
 Pasukan penguatkuasa KPDN semasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah pasaraya di sini.
PERIKSA: Pasukan penguatkuasa KPDN semasa menjalankan pemeriksaan di salah sebuah pasaraya di sini.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merekodkan 139 kes hasil pemeriksaan 8,112 premis seluruh Sabah sepanjang bulan lalu.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata kesalahan itu membabitkan pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambahnya sepanjang tempoh terbabit juga pihaknya merekodkan nilai kompaun sebanyak RM20,700.

“KPDN terus komited melaksanakan pemeriksaan premis perniagaan dan tindakan mengawal selia bekalan serta harga barang kawalan termasuk keperluan asas di setiap peringkat rantaian bagi memastikan bekalan barang terutamanya minyak masak, ayam dan telur ayam sentiasa ada di pasaran.

“Pemeriksaan juga dijalankan bagi membanteras aktiviti menyorok barang kawalan untuk memastikan bekalan barang makanan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata pemeriksaan keberadaan barang kawalan terbabit dijalankan di premis tumpuan pengguna di sekitar ibu negeri.

Tambahnya hasil pemeriksaan mendapati bekalan ayam, telur dan minyak masak tetap ada di pasaran. 

“Anggota penguatkuasa KPDN Sabah akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya bagi memastikan bekalan mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga berpatutan.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan mengikut AKHAP 2011 dan AKB 1961.

“KPDN juga mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga menerusi saluran Whatsapp di talian 019-279 4317  atau 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my atau menghantar surat rasmi ke pejabat KPDN yang berdekatan dan bilik gerakan KPDN negeri,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement