Anda di sini

Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya kurangkan kemalangan sepanjang musim perayaan

Advertisement
 Shahelmey menyempurnakan perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Teluk Dumpil Putatan.
RASMI: Shahelmey menyempurnakan perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Teluk Dumpil Putatan.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya mampu mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata sepanjang Januari tahun ini sahaja, Sabah merekodkan 1,634 kes kemalangan dengan 20 kes adalah kemalangan maut.

“Kempen ini penting dilaksanakan bagi menyedarkan pengguna jalan raya untuk mengutamakan aspek keselamatan jalan raya setiap masa.

“Program yang diadakan setiap tahun terutamanya musim perayaan juga dilihat mampu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan kempen keselamatan terbabit di Teluk Dumpil Putatan semalam.

Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dilaksanakan Kementerian Kerja Raya Sabah melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Sementara itu semasa ditanya mengenai mekanisme lain yang boleh dilaksanakan selain kempen keselamatan ini, beliau berkata beberapa langkah lain termasuk tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan.

“Kita perlu memandang serius berkenaan aspek keselamatan jalan raya, pemandu itu sendiri perlu memastikan kenderaan yang digunakan dalam keadaan selamat selain memandu secara beretika untuk keselamatan diri dan pengguna lain terjaga.

“Tindakan pematuhan undang-undang juga perlu dilaksanakan terhadap pemandu yang cuai dan memandang ringan aspek keselamatan jalan raya bagi memastikan kemalangan dapat diminimakan.

“Kita juga akan berkolaborasi dengan pelbagai jabatan berkaitan bagi memastikan kita dapat meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya berada pada tahap tertinggi,” katanya.

20 kemalangan maut bulan lalu membabitkan 14 motokar, tiga pacuan empat roda dan selebih tiga yang lain adalah van milik kerajaan serta van persendirian.

Motokar juga mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 217 daripada 255 keseluruhan kes kemalangan maut sepanjang tahun lalu diikuti pacuan empat roda 12 kes manakala 164 pada 2021 daripada keseluruhan 205 kes kemalangan maut tahun terbabit.

  • oleh
  • Advertisement