Anda di sini

KDMRS Muslim perlu dana RM4 juta terbit Al-Quran terjemahan empat bahasa

Advertisement
NICHOLAS
NICHOLAS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim Malaysia (KDMRS Muslim) memerlukan dana kira-kira RM4 juta bagi membiayai kos penterjemahan dan penerbitan naskhah Al-Quran empat bahasa.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif KDMRS Muslim Nicholas Sylvester berkata, pihaknya ketika ini sedang berusaha mencetak Al-Quran dalam bahasa etnik Murut, Rungus, Sungai dan Kadazan.

“Kami mengalu-alukan sumbangan individu mahupun institusi bagi membantu membiayai kos penterjemahan yang dianggarkan RM4 juta untuk empat bahasa tersebut.

“Untuk permulaan, kami telah mencetak sebanyak 20,000 naskhah Al-Quran dengan terjemahan bahasa Dusun,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, KDMRS Muslim telah memulakan inisiatif menyediakan naskhah Al-Quran terjemahan bahasa Dusun pada Januari 2019 sehingga dapat disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Ia sudah diedarkan ke seluruh negara dengan tumpuan di Sabah terutama di semua surau, masjid, perpustakaan awam, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, kami juga giat melaksanakan pelbagai program bagi membina persefahaman serta hubungan baik antara etnik KDMRS,” katanya.

Nicholas berkata, tahun ini KDMRS Muslim memfokuskan sekurang-kurangnya tujuh aktiviti melalui platform kebajikan dan pendidikan melibatkan masyarakat serta saudara baharu.

“Kami juga akan menerbitkan kitab Tafsir Ibnu Kathir dengan terjemahan bahasa Dusun yang memerlukan kos lebih RM1 juta.

“Kepada individu dan institusi yang mahu menyalurkan sumbangan kepada KDMRS Muslim boleh terus memasukan dana tersebut ke akaun Bank Islam 100520101170 95,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement