Anda di sini

FELCRA menunjukkan penghargaan untuk 10,000 peserta menerusi perlindungan PERKESO

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menerima sumbangan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada FELCRA Berhad untuk 10,000 orang pesertanya FELCRA Berhad menerusi inisiatif SPS Tani di bawah Program SPS Padanan Caruman.

SPS Padanan Caruman adalah inisiatif geran padanan Kerajaan yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 bertujuan untuk menggalak dan meringankan beban golongan bekerja sendiri untuk mendapat perlindungan sosial daripada PERKESO. Di bawah Inisiatif ini, Kerajaan membiayai 80% daripada caruman Pelan 2 SKSPS, manakala pencarum bekerja sendiri hanya perlu membayar 20% iaitu RM46.60 sahaja daripada jumlah penuh caruman (RM232. 80).

Sumbangan caruman ini mencerminkan penghargaan dan komitmen FELCRA kepada pesertanya. 

Tajaan caruman SKSPS di bawah SPS Tani oleh FELCRA Berhad direalisasikan melalui projek TANGO. Projek TANGO adalah platform yang mengumpulkan usahawan dan golongan bekerja sendiri termasuk pekerja gig secara dalam talian untuk menarik golongan ini di seluruh negara supaya menyertai perlindungan SKSPS.

SKSPS menyediakan perlindungan kepada orang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa melakukan aktiviti berkaitan pekerjaan. Antara faedah yang ditawarkan oleh skim ini ialah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Kemudahan Pinjaman Pendidikan.

Sehingga kini, hampir 711,000 pencarum aktif berdaftar di bawah SKSPS daripada kirakira 2.8 juta orang yang bekerja sendiri di seluruh negara. 

Bertanggungjawab membangunkan kawasan luar bandar, FELCRA membuka peluang kepada masyarakat luar bandar meningkatkan taraf hidup mereka melalui penyertaan dalam aktiviti ekonomi bagi menjana pendapatan dengan mewujudkan sektor luar bandar yang dinamik, lestari dan menguntungkan.  

PERKESO menyediakan perlindungan kepada orang bekerja sendiri di bawah 20 sektor informal termasuk Sektor Pertanian, melalui SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789). Akta 789, yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2017, kini diwajibkan untuk sektor pengangkutan penumpang dan juga sektor pengangkutan barangan dan makanan.

PERKESO berharap agensi lain akan mencontohi keprihatinan FELCRA dalam aspek kebajikan dan perlindungan peserta mereka agar lebih ramai orang bekerja sendiri dilindungi PERKESO menerusi SKSPS. Skim ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada individu bekerja sendiri tetapi juga tanggungan mereka sekiranya berlaku kematian berkaitan pekerjaan.

  • oleh
  • Advertisement