Anda di sini

FAS tumpu tiga tunjang utama, angkat martabat bola sepak Sarawak

Advertisement
Abang Zulkarnain (duduk, empat kiri) bergambar bersama peserta Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen FAM 2023 malam Rabu.
Abang Zulkarnain (duduk, empat kiri) bergambar bersama peserta Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen FAM 2023 malam Rabu.

MIRI: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan menumpukan tiga tunjang utama dalam mengangkat semula martabat bola sepak Sarawak ke arah yang lebih baik.

Presidennya, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman mengakui meskipun ia bukan perkara yang mudah, namun satu usaha perlu dilakukan demi kebangkitan bola sepak Sarawak.

"FAS akan menumpukan tiga tunjang utama iaitu Tadbir Urus, Pembangunan dan Pertandingan dalam usaha untuk membangunkan semula bola sepak Sarawak dari peringkat awal," katanya berucap merasmikan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Lesen FAM 2023 malam Rabu.

Abang Zulkarnain berkata untuk melaksanakannya, ia memerlukan penglibatan secara aktif dan bersepadu daripada kalangan ahli FAS khususnya Persatuan Bola Sepak Bahagian (DFA).

Bagi Tadbir Urus, FAS katanya akan memastikan DFA ditadbir dengan cara sempurna melalui kepimpinan yang memahami sepenuhnya perancangan FAS.

Di samping melengkapkan DFA dengan ilmu dan pengetahuan melalui program pendidikan secara berterusan serta memastikan perlembagaan dan amalan DFA disesuaikan dengan FAS, FAM, AFC dan juga FIFA.

Manakala bagi Pembangunan, FAS merangka dan menyediakan program pembangunan teknikal yang meliputi aspek kejurulatihan, pemain, pengadil dan pentadbir.

"FAS akan memperkenalkan program akar umbi sama ada melalui acuan baharu atau dengan mengguna pakai program Akar Umbi FAM yang sedia ada serta membentuk kerjasama dengan sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Selain itu untuk Pertandingan, FAS mahu mewujudkan pertandingan yang bersistematik lagi kompetitif di peringkat Bahagian dan Negeri.

Ia menyasarkan kelompok pemain dari kalangan umur 12 hingga 18 tahun, merangka satu kalendar pertandingan untuk semua dan memperluaskan tapak asas yang akan melengkapi prinsip piramid bola sepak.

"FAS juga akan menyediakan bilangan perlawanan kompetitif yang mencukupi untuk pembangunan pemain, jurulatih serta pengadil," jelasnya.

Sementara itu, kursus berkenaan disertai kira-kira 40 orang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah serta orang perseorangan.

Turut hadir ialah Naib Presiden FAS, Kharuddin Qalam Daud, Koordinator Kursus Mohd Saif Jubaidi dan Ketua Instuktor Kursus Wan Jamak Wan Hassan.
 

  • oleh
  • Advertisement