Anda di sini

Ewon pengerusikan mesyuarat khas selesai pemilikan tanah dan warta kampung di tiga kampung di Penampang

Advertisement
 Ewon ketika menghadiri mesyuarat khas yang diadakan di Pejabat Daerah Penampang.
BINCANG: Ewon ketika menghadiri mesyuarat khas yang diadakan di Pejabat Daerah Penampang.



PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mempengerusikan mesyuarat khas untuk menyelesaikan pemilikan tanah dan warta kampung di tiga kampung di sini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, kawasan itu melibatkan Kg Sugud, Kg Togudon dan Kg Babagon.


“Penduduk Kg Sugud dan Kg Babagon memohon supaya Tanah Rezab Padang Ragut di kampung itu ditukar kepada rezab tanah kampung.


“Manakala penduduk Kg Togudon pula memohon supaya isu pemilikan geran tanah dapat diselesaikan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas itu, di Pejabat Daerah Penampang, di sini, kelmarin.


Turut hadir Pegawai Daerah Penampang Francis Chong; pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan Ukur; Pejabat Hasil Bumi; Jabatan Perlindungan Alam Sekitar; Jabatan Air; Jabatan Pertanian dan Ketua-Ketua kampung berkenaan.


Tambah Ewon, beliau telah menulis surat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Disember lalu memohon kelulusan penyukatan tanah melalui Program PANTAS di Kg Togudon dan maklum balas yang diterima adalah positif.


“Nota Ketua Menteri kepada Pengarah Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah menyatakan tiada halangan untuk penyukatan tanah melalui Program PANTAS,” katanya.


Mengenai isu tanah di Kg Sugud pula, beliau berkata, isu itu telah dibangkitkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada November 2022.


“Pada persidangan DUN lalu, saya telah mencadangkan supaya rezab padang ragut di Kg.Sugud ditukar kepada razab tanah kampung, kerana ini adalah permintaan penduduk kampung yang mempunyai rezab padang ragut tetapi kini tidak lagi digunakan.


“Berdasarkan jawapan lisan yang saya terima, penukaran rezab padang ragut kepada rezab tanah kampung boleh dipohon dengan menulis surat kepada Setiausaha kerajaan Negeri,” katanya.


Ewon berkata, penduduk Kg Babagon juga meminta supaya rezab padang ragut di kampung itu ditukar kepada tanah kampung kerana tiada lagi penduduk yang mengusahakan ternakan.

  • oleh
  • Advertisement