
BELURAN: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki karam di sungai Tagas-Tagas, Tongod, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa terbabit bergerak menaiki bot dari Sabah Palm Tongod menuju ke Pekan Beluran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi.
Katanya, seramai empat anggota dan pegawai bersama dua jentera termasuk sebuah bot digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Laporan awal mendapati kedua-dua mangsa menaiki sebuah bot melalui sungai Tagas-Tagas, Tongod untuk mendapatkan rawatan di Hospital Beluran.
“Bagaimanapun, bot mangsa dipercayai karam berdasarkan penemuan tong minyak bot dan beg mereka yang terapung di sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini pagi tadi.
Menurutnya, pasukan Bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar sungai berkenaan.
“Setakat ini, semua mangsa belum ditemukan dan operasi SAR masih dijalankan menggunakan kaedah mencari dipermukaan sungai,”katanya.