Anda di sini

Bot terbalik, 49 kanak-kanak lelaki Pakistan mati lemas

Advertisement

Nahas itu berlaku ketika pelajar madrasah tersebut mengadakan lawatan sehari ke tasik Tanda Dam

Gambar diambil pada Isnin menunjukkan anggota penyelamat mengangkat mayat salah seorang pelajar yang lemas sehari selepas sebuah bot terbalik di tasik Tanda Dam di daerah Kohat di utara wilayah Khyber Pakhtunkhwa. — Gambar AFP
Gambar diambil pada Isnin menunjukkan anggota penyelamat mengangkat mayat salah seorang pelajar yang lemas sehari selepas sebuah bot terbalik di tasik Tanda Dam di daerah Kohat di utara wilayah Khyber Pakhtunkhwa. — Gambar AFP

PESHAWAR: Empat puluh sembilan kanak-kanak lelaki maut selepas sebuah bot terlebih muatan terbalik di barat laut Pakistan, kata polis kelmarin selepas penyelam menghabiskan tiga hari menyeret keluar mayat mereka dari perairan beku.

Kesemua kanak-kanak lelaki berusia antara tujuh dan 14 tahun itu merupakan pelajar sebuah sekolah madrasah dan telah dibawa untuk lawatan sehari ke tasik Tanda Dam yang indah pada Ahad.

“Air empangan itu membeku kerana cuaca sejuk yang menghalang misi menyelamat. Tetapi hari ini penyelam dapat menyelam ke paras dalam untuk mendapatkan mayat yang tertinggal,” kata Khateer Ahmad, pegawai kanan Penyelamat 1122.

Mayat seorang guru dan seorang kapten turut dikeluarkan dari air, tambahnya, menjadikan jumlah kematian kepada 51 orang.

Muhammad Umar, yang menjual teh di tapak perkelahan yang menghadap ke destinasi pelancongan popular hujung minggu itu, berkata berpuluh-puluh ibu bapa dan saudara mara telah berkumpul sejak beberapa hari lalu.

“Setiap kali mayat ditemui dari tempat kejadian, mereka akan melompat ke arah penyelam untuk melihat sama ada itu anak mereka dan setiap kali kami akan mendengar mereka menjerit kesakitan dan keperitan,” katanya kepada AFP menerusi telefon kelmarin.

“Saya tidak pernah menyaksikan adegan seperti itu dalam hidup saya, ia sesuatu yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata,” ujarnya.

Tasik Tanda Dam terletak kira-kira lima kilometer dari madrasah – sebuah sekolah Islam yang menawarkan pendidikan agama percuma – di daerah Kohat di utara wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

Jurucakap polis Fazal Naeem mengeluarkan angka kematian baharu kelmarin selepas misi menyelamat tamat. Ia disahkan oleh sayap media tentera.

“Bot itu terlebih muatan; kapasitinya ialah sekitar 20 hingga 25 orang,” kata Naeem kepada AFP.

Tambahnya, lima orang berjaya diselamatkan termasuk empat pelajar dan seorang guru.

Tentera Pakistan berkongsi imej menunjukkan penyelam merentasi tasik dengan bot getah, memasuki perairan hijau untuk menarik mayat kanak-kanak.

“Saya tersangkut di bawah bot,” kata mangsa yang terselamat berusia 11 tahun, Muhammad Mustafa dari katil hospitalnya pada Ahad.

“Selendang dan baju sejuk saya membebankan saya, jadi saya menanggalkannya.”

“Airnya sangat sejuk dan badan saya kebas. Saya fikir saya akan pengsan dan ketika itu seorang lelaki di atas bot kembung menyelamatkan saya.”

Lemas merupakan malapetaka lazim di Pakistan, apabila kapal yang sudah usang dan sarat muatan hilang kestabilan dan menghumban penumpang ke dalam air.

Pada hari yang sama, sekurang-kurangnya 41 orang disahkan maut selepas sebuah bas terbabas ke dalam gaung di barat daya wilayah Balochistan.

Pada Julai tahun lalu, sekurang-kurangnya 18 wanita lemas selepas bot terlebih muatan yang membawa kira-kira 100 ahli keluarga terbalik semasa perarakan perkahwinan antara dua kampung. — AFP 
 

Advertisement