Anda di sini

Anifah tekad tarik pelabur asing, majukan Sabah

Advertisement
ANIFAH AMAN
ANIFAH AMAN



KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Panglima Anifah Aman (gambar) menyatakan penghargaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri.


Jelas Anifah, Ketua Menteri amat memahami tentang kepentingan hubungan antarabangsa khususnya bagi mencapai visi Sabah Maju Jaya (SMJ) terutama ke arah mengukuhkan hubungan antarabangsa yang diyakini berupaya menarik minat pelabur asing ke Sabah.


"Pelantikan saya menunjukkan bahawa Ketua Menteri adalah seorang yang berwawasan kerana dengan adanya penglibatan hubungan antarabangsa, kita berupaya membawa Sabah ke perhatian umum.


"Banyak perkara yang boleh ditawarkan terutama kepada pelaburan asing. Kini Kerajaan Negeri terus diperkasa lagi selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan sudah tiba masanya kita mengambil peluang untuk melibatkan diri dengan negara asing dan membawa lebih banyak syarikat asing melabur di Sabah, " katanya.


Dalam perkembangan sama, Anifah turut menyatakan kesediaan untuk berkongsikan pengalamannya terdahulu sebagai bekas Menteri Luar untuk membantu Sabah mencapai wawasan 'Sabah Maju Jaya'.
Beliau turut berbesar hati untuk bekerjasama dengan Ketua Menteri untuk membangunkan Sabah ke arah yang lebih positif.


"Saya akan melakukan yang terbaik untuk menasihati Ketua Menteri mengenai sebarang perkara yang berkaitan dengan hubungan antarabangsa termasuk bagi meningkatkan imej Sabah sebagai negeri mesra pelabur, " katanya.


Anifah pada Selasa lepas menerima watikah pelantikan daripada Ketua Menteri dalam satu majlis di Menara Kinabalu, yang melantiknya sebagai Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri.


Hajiji dalam satu kenyataan yakin pelantikan Anifah yang berpengalaman luas dalam perhubungan antarabangsa dapat membantu kerajaan negeri dalam menjalin hubungan yang baik dengan negara-negara luar dan pelabur asing selaras dengan dasar mesra pelabur.

  • oleh
  • Advertisement