Anda di sini

12 buah rumah musnah dalam kebakaran

Advertisement
 Kelihatan beberapa penduduk berusaha menyelamatkan harta benda masing-masing selepas rumah mereka terbakar.
MUSNAH: Kelihatan beberapa penduduk berusaha menyelamatkan harta benda masing-masing selepas rumah mereka terbakar.

TAWAU: Lebih 100 orang penduduk cemas selepas kediaman mereka yang membabitkan 12 buah rumah musnah terbakar, di Jalan Guru, Kampung Jawa, di sini tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.38 tengah hari.

Katanya, seramai 20 anggota dan pegawai bersama lima jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba Komuniti Kampung Titingan.

“Sebaik tiba, beberapa buah rumah sudah musnah tebakar dan usaha memadam terus dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, anggaran keluasan kawasan kebakaran yang terlibat kira-kira satu hektar membabitkan 12 buah rumah jenis tidak kekal.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.56 petang dan operasi memadam bara api dijalankan bagi memastikan lokasi kebakaran selamat.

“Kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya.

Jemishin  berkata, pasukan bomba akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.

  • oleh
  • Advertisement