Anda di sini

Wanita Vietnam mengaku tinggal lebih masa didenda RM10,000

Advertisement
H Buih dieskot oleh anggota polis selesai sesi prosiding di kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.
H Buih dieskot oleh anggota polis selesai sesi prosiding di kompleks Mahkamah Kuching, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat bulan ke atas seorang wanita warganegara Vietnam selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di negeri ini selama tiga hari setelah tamat tempoh pas lawatan sosialnya.

H Buih Bya, 26, dari Ho Chi Minh, Vietnam mengaku bersalah di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 15(4) akta sama. 

Seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

H Buih melakukan kesalahan itu di sebuah motel di Jalan Padungan dekat sini, sekitar 7.40 malam pada 9 Disember 2022.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, H Buih minta dibicarakan bagi pertuduhan terlibat dalam pelacuran di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Zaiton kemudian menetapkan ikat jamin tunai RM1,000 dengan seorang penjamin tempatan dan menetapkan 15 Mac 2023 bagi pengurusan kes.

Menurut pertuduhan dibicarakan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan,H Buih didakwa melakukan kesalahan itu pada hari, masa dan tempat yang sama.

Seksyen itu membawa hukuman denda kurang daripada RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu premis berkenaan kerana disyaki berlakunya aktiviti pelacuran dan H Buih kemudian ditahan kerana didakwa melakukan aktiviti pelacuran.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai RM200 dan kondom terpakai.

Ketika polis meminta dokumen perjalanan H Buih semasa serbuan dilakukan, didapati dia telah tinggal lebih masa di negeri ini selama tiga hari selepas tamat tempoh pas lawatan sosialnya.

Menurut pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia, dia telah memasuki negara ini pada 7 November 2022 dan dibenarkan tinggal di Malaysia untuk lawatan sosialnya sehingga 6 Disember 2022.

H Buih, tanpa sebarang alasan munasabah, bagaimanapun tinggal lebih masa di negeri ini sehingga hari penahanannya (9 Disember 2022).

Pendakwaan kes tersebut dilakukan secara berasingan oleh DPP Danial Mohamad Ali dan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala H Buih tidak diwakili peguam bela.
 

Advertisement