Anda di sini

Tiga pelajar ditahan bantu siasatan kes pukul rakan sekelas

Advertisement
 

KOTA BHARU: Polis menahan tiga pelajar sebuah sekolah menengah, di sini, bagi membantu siasatan kes pukul rakan sekelas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata penahanan tiga pelajar berusia 14 hingga 15 tahun itu, dibuat selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut yang dibuat oleh ibu mangsa pada 7.51 petang pada Isnin.

Beliau berkata berdasarkan keterangan ibu mangsa, anak lelakinya yang berusia 14 tahun memaklumkan telah dipukul oleh tiga rakan sekelas, semasa berada di sekolah terbabit kira-kira 1.45 tengah hari.

“Siasatan awal dapati punca pergaduhan berlaku kerana saling mengejek semasa berada di dalam kelas. 

“Mangsa yang mengalami sakit pada bahagian badan telah mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Mohd Rosdi berkata susulan itu, polis menahan tiga pelajar yang terlibat di dalam kejadian itu.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement